My Add

Wednesday 13 June 2012

Garam, botol air boleh jadi alat jatuhkan kerajaan: Nazri

Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz
KUALA LUMPUR, RABU, 13 Jun, 2012: Garam dan botol air mineral yang menjadi "perisai" peserta perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu tidak harus dipandang remeh kerana ia mungkin boleh menjadi instrumen berkuasa untuk menjatuhkan kerajaan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ni. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata kuasa garam dan botol air mineral mungkin boleh menjadi seperti kuasa telefon bimbit yang menyebabkan jatuhnya regim berpengaruh di Mesir dan Tunisia.

"Jadi jangan remehkan kuasa garam dan botol...kerajaan yang berpengaruh di Mesir dan Tunisia jatuh hanya dengan telefon bimbit sahaja Yang Berhormat, jadi jangan diremehkan," katanya.

Mohamed Nazri berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang bertanya sama ada kerajaan bersedia meminta maaf kerana mendakwa perhimpunan BERSIH 3.0 sebagai cubaan rampasan kuasa oleh pembangkang. 

"Adakah perdana menteri sedia minta maaf dan tarik balik dakwaan cubaan rampasan kuasa...bolehkah garam dan botol air mineral gulingkan kerajaan," soal Lim. 

Terdahulu, menjawab soalan asal Lim, Mohamed Nazri, berkata perhimpunan jalanan di ibu kota pada 28 April lalu itu sememangnya percubaan untuk menggulingkan kerajaan oleh pembangkang. 

"Cubaan itu dilaksanakan melalui taktik seumpamanya yang digunapakai di Dataran Tahrir di Mesir, Green Square di Libya dan Martyrs' Square di Syria," kata Mohamed Nazri bagi menjawab soalan tambahan lain oleh Lim yang meminta kerajaan menyatakan bukti dakwaan bahawa perhimpunan itu adalah satu cubaan rampasan kuasa oleh pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan. 

Beliau berkata, keengganan pihak penganjur perhimpunan haram itu 
berkompromi dan tindakan ganas serta provokatif sebahagian peserta BERSIH 3.0 pada hari berkenaan mencermikan matlamat mereka yang sebenar iaitu untuk melihat pihak berkuasa bertindak balas bagi menegakkan undang-undang dan melindungi kepentingan awam. 

"Mereka menggunakan insiden yang berlaku bagi membuktikan kepada masyarakat Malaysia dan antarabangsa bahawa kerajaan Malaysia bertindak ganas terhadap perhimpunan yang kononnya aman. 

"Ia bermatlamat menimbulkan kesan berantai yang akhirnya berhasrat menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik," katanya. 

Mohamed Nazri berkata, matlamat dan niat murni majoriti peserta perhimpunan BERSIH 3.0 juga dirampas oleh pihak pembangkang yang mempunyai agenda untuk memberi tekanan kepada kerajaan. 

"Ia dilakukan kerana ada pihak-pihak tertentu yang tidak yakin bahawa melalui pilihanraya yang bebas dan adil seperti yang dilaksanakan kini, mereka akan berpeluang untuk membentuk kerajaan, katanya. 

Beliau berkata, sebagai tindakan yang bersifat preamtif, pihak ini cuba menimbulkan kesangsian di hati dan fikiran rakyat bahawa sistem pilihan raya negara ini adalah tidak adil dan tidak bebas. 

"Jika mereka kalah di dalam pilihan raya yang diadakan kelak, maka mereka akan mendabik dada bahawa mereka SUDAH dibuktikan benar," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment