Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
KUALA LUMPUR, ISNIN, 04 Jun, 2O12: Gas asli merupakan penyelesaian terbaik bukan sahaja dalam usaha mengurangkan pencemaran alam sekitar tetapi pada masa sama memain peranan penting menyumbang kepada pembangunan sesebuah negara, khususnya Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun sumber asli tersebut bukan penyelesaian sempurna terhadap isu alam sekitar tetapi gas itu terbukti berjaya mengurangkan separuh daripada pelepasan karbon dioksida berbanding arang batu.
Menurut beliau, atas sebab itu gas menjadi sumber tenaga terpenting serta terbesar kepada Malaysia sejak 30 tahun lalu dan kini sumber asli tersebut menyumbang kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan keperluan tenaga semasa dalam negara.
"Gas merupakan tulang belakang kepada industri petroleum kita dan Gas Asli Cecair (LNG) pula penyumbang utama pendapatan asing Malaysia, malah jika tidak beralih kepada gas asli, pelepasan karbon dioksida di Malaysia pada hari ini 35 peratus lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama sempena perasmian Persidangan Gas Dunia Ke-25 yang bertemakan 'Gas Mengekalkan Pertumbuhan Global' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Hadir sama Presiden dan Ketua Eksekutif Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas; Presiden Persatuan Gas Antarabangsa, Datuk Abdul Rahim Hashim serta hampir 5,000 peserta persidangan dari 86 buah negara termasuk wakil-wakil syarikat petroleum.
Pada majlis itu juga, Perdana Menteri turut merasmikan Pusat Regasifikasi LNG Petronas di Melaka yang bernilai RM1.3 bilion menerusi siaran langsung video bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Sementara itu, Najib berkata, dalam membangunkan pasaran gas, kerjasama jangka panjang yang merentasi kewajipan kontrak sangat penting bagi memberi manfaat kepada semua pihak terlibat, khususnya kepada pemain industri dalam sektor berkenaan.
"Ia berdasarkan pengalaman Malaysia yang sekian lama terlibat dalam bidang ini dan saya percaya pengajaran ini sangat relevan untuk memastikan gas terus berperanan dalam meningkatkan pertumbuhan global," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment