My Add

Tuesday 5 June 2012

Kerajaan berhemah, tidak boros dan berpaksi realiti

PUTRAJAYA, ISNIN, 04 Jun, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan mengamalkan dasar pentadbiran yang berhemah, tidak boros dan berpaksikan kepada realiti untuk memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin.

Perdana Menteri menegaskan, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, pihaknya tidak menawarkan apa yang tidak boleh ditunaikan atau janji-janji yang memudaratkan negara pada jangka masa pendek dan panjang.

‘‘Walaupun harga minyak di Malaysia adalah paling rendah di Asia Tenggara selepas Brunei di mana kerajaan mengeluarkan subsidi lebih RM2 bilion setiap bulan, tetapi ada orang yang janji untuk turunkan harga minyak serta-merta selepas berkuasa.

‘‘Mereka kata nak hapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang akan memberi kesan hampir RM44 bilion kepada hutang negara, hapus bayaran tol serta menetapkan gaji minimum sebanyak RM4,000 sebulan.

‘‘Janji-janji ini tidak berpaksi pada realiti mahupun memperlihatkan prinsip pengurusan ekonomi yang bertanggungjawab. Kita tidak perlu jadi cendekiawan untuk faham bahawa segala ini tidak mungkin boleh dilaksanakan," katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu belajar daripada kesilapan beberapa negara di Eropah termasuk Greece dan Sepanyol yang berakhir dengan masalah ekonomi yang serius.

‘‘Bertentangan dengan apa yang kita lakukan, beberapa negara zon Euro berbelanja melebihi pendapatan, mereka tidak meningkatkan produktiviti, tidak kutip hasil dan mereka ketandusan idea baru untuk menjana kekayaan tambahan," katanya.

Mengulas lanjut, Najib berkata, Malaysia tiada pilihan melainkan mengukuh daya tahan domestik ketika berdepan dengan keadaan ekonomi Eropah yang tidak menentu serta pertumbuhan perlahan di Amerika Syarikat (AS).

‘‘Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang mula dilaksana telah menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembinaan melebihi 15 peratus, sekali gus membantu Malaysia mencatatkan pertumbuhan keseluruhan sebanyak 4.7 peratus pada suku pertama tahun ini," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, penjawat awam terutamanya golongan barisan hadapan seperti pegawai Imigresen dan kastam perlu memainkan peranan untuk merapatkan jurang realiti dan persepsi orang asing mengenai negara ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment