My Add

Friday 1 June 2012

IPO FGV raih dana RM10.5 bilion

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) bakal meraih dana sejumlah RM10.5 bilion daripada tawaran awam permulaan (IPO) berdasarkan harga runcit RM4.55 sesaham, sekali gus penyenaraian syarikat yang terbesar di Asia pada tahun ini dan kedua terbesar di dunia selepas Facebook.

FGV bakal disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia pada 28 Jun ini.

Pelancaran Prospektus FGV itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Perdana Felda di sini hari ini.

Menerusi IPO itu, FGV akan menawarkan sehingga 2.19 bilion saham biasa kepada pelabur tempatan dan institusi asing, termasuk pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), selain pelabur runcit.

Menurut prospektus, terdapat sejumlah 255.37 juta saham terbitan runcit, yang mewakili 7.0 peratus daripada modal saham terbitan dan berbayar FGV yang diperbesarkan.

Manakala, sebanyak 182.41 juta saham terbitan diperuntukkan kepada para pekerja dan peneroka Felda yang layak serta mereka yang telah memberi sumbangan kepada Felda.

Bahagian runcit IPO pula mengandungi 273.61 juta saham berharga serendah RM4.55 sesaham dan 98 peratus harga institusi. Harga institusi akan dikenal pasti berdasarkan proses tempahan buku.

Sebanyak 72.96 juta saham terbitan lagi diperuntukan kepada orang awam tempatan.

Presiden Kumpulan FGV, Datuk Sabri Ahmad berkata, sebahagian daripada dana IPO itu dijangka digunakan untuk perbelanjaan modal syarikat bagi meningkatkan kecekapan.

Katanya, selain itu, dana tersebut akan meluaskan keupayaan, pengambilalihan ladang, peluasan aktiviti hiliran dan keperluan modal kerja yang lain.

"Kami telah meletakkan inisiatif strategik untuk mengembangkan perniagaan dan meningkatkan kecekapan serta keupayaan.

"Ini termasuk meningkatkan kecekapan melalui program tanaman semula kelapa sawit bagi meningkatkan profil usia, menambah bank tanah dan meluaskan keupayaan hiliran bagi meningkatkan nilai produk-produk huluan,'' katanya ketika berucap pada majlis pelancaran prospektus FGV itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank Bhd., Datuk Charon Wardini Mokhzani berkata, penyenaraian FGV akan meningkatkan modal pasaran syarikat itu melebihi RM16 bilion. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment