*NAJIB Tun Razak bersama Ahmad Maslan (tiga kanan), Mohd. Isa Abdul Samad (dua kanan), Sabri Ahmad (lima kanan) serta kenamaan lain pada majlis pelancaran Prospektus Felda Global Ventures Holdings Berhad di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ASWAD YAHYA
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGV) di Bursa Saham Malaysia pada 28 Jun ini yang disifatkan sebagai satu detik paling bersejarah dalam industri komoditi negara akan memberi keutamaan kepada para peneroka serta pekerja-pekerja Felda bagi tujuan pemilikan saham syarikat konglomerat itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, hasil daripada penyenaraian tersebut sebanyak 182.4 juta saham daripada 255.37 juta Saham Terbitan Penawaran Runcit akan diperuntukkan kepada para pekerja dan peneroka yang layak serta penyumbang-penyumbang besar Felda manakala tawaran untuk orang awam adalah 72.96 juta saham.
Justeru beliau menegaskan, segala dakwaan daripada pihak-pihak tidak bertanggungjawab bahawa peneroka akan dimanipulasikan oleh kerajaan ekoran penyenaraian FGV itu jelas tidak benar dan tidak berasas sama sekali.
"Jangan kita terpedaya dengan hasutan-hasutan sesetengah pihak yang tidak senang melihat kesejahteraan para peneroka Felda. Saya juga amat berharap kesemua peneroka akan terus memberi keyakinan kepada penyenaraian syarikat FGV ini dengan terus melabur dan kemudian menyimpan saham-saham tersebut untuk jangka masa panjang.
"Sekiranya kita tabah dan sabar insya-Allah, Tuhan akan tambahkan lagi rezeki kita sebagaimana ketabahan kita menjadi peneroka. Saya yakin dan percaya pemilikan saham FGV ini akan tingkatkan lagi pendapatan tuan-tuan dan puan-puan," katanya.
Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Prospektus FGV di Dewan Perdana Felda di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan Presiden FGV, Datuk Sabri Ahmad.
Najib yang juga menteri bertanggungjawab menjaga hal ehwal Felda turut menyatakan komitmennya untuk melindungi agensi tersebut daripada ditimpa sebarang kemudaratan dan musibah.
"Saya ingin menegaskan sekali lagi apa yang kita lakukan ini adalah menepati amanah yang telah ditinggalkan oleh ayahanda saya, Tun Abdul Razak dan sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas Felda saya serta bersama rakan-rakan yang lain tidak akan sesekali membiarkan sebarang kemudaratan menimpa Felda.
"Kita sedar Felda banyak berbudi dan berjasa bukan sahaja kepada 112,000 peneroka malah kepada generasi terkemudian dan juga kepada negara secara keseluruhan," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, penyenaraian saham FGV yang berlaku tidak lama lagi telah mencatatkan dua detik bersejarah bagi Felda dan Malaysia.
"Pertama penyenaraian ini merupakan yang terbesar bagi rantau Asia untuk tahun 2012 dan kedua, jumlah tawaran awam permulaan (IPO) hasil daripada penyenaraian tersebut merupakan yang kedua terbesar di dunia pada tahun ini selepas Facebook.
"Insya-Allah prestasi saham FGVH ini lebih baik daripada Facebook," katanya.
Terdahulu pada awal ucapannya Najib berkata, keputusan penyenaraian itu dibuat berdasarkan kepada dua sebab utama iaitu usaha untuk menjadikan Felda sebagai syarikat komoditi terkemuka dunia melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) serta jalan terbaik untuk menjana kekayaan.
"Tiada cara lain yang boleh menjana kekayaan yang begini besar dan pantas. Oleh itu jika kita mahu aset yang telah kita bangunkan sejak 56 tahun lalu kita perlu menyenaraikan saham-saham FGV ini.
"Penyenaraian ini dibuat tanpa menyentuh tanah yang dimiliki oleh peneroka, tanpa menjual tanah yang dimiliki oleh Felda Holdings, cuma kita pajakkan sahaja. Oleh itu pada masa panjang aset ini masih dimiliki oleh Felda," katanya.
Di dalam ucapannya beliau memberitahu pemberian 'durian runtuh' RM5,000 kepada isteri peneroka pada 7 Julai ini iaitu sempena Hari Peneroka selepas selesai pemberian RM5,000 kepada ketua keluarga peneroka. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment