My Add

Wednesday 27 June 2012

Jangan hasut bekas tentera

KUALA LUMPUR, SELASA, 26 Jun, 2012: Parti pembangkang diingatkan supaya tidak menjadi 'tangan kotor' yang membangkitkan rasa tidak puas hati dalam kalangan bekas tentera tidak berpencen terhadap kerajaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, kerajaan menerusi Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (Perhebat) telah melaksanakan pelbagai inisiatif bukan sahaja bagi membantu bekas tentera tidak berpencen malah ahli keluarga mereka.

"Apa yang dilakukan JHEV dan Perhebat adalah antara elemen harus difikir bersama tidak kira di sebelah sini atau di sebelah sana. Jangan guna kesempatan pada waktu hampir pilihan raya untuk 'mencucuk' mereka itu agar tidak berpuas hati.

"Sedangkan, apa yang kita lakukan itu adalah insya-Allah yang terbaik dan jangan jadi tangan kotor," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) pada Sidang Dewan Rakyat di sini hari.

Terdahulu, beliau menjawab soalan asal Datuk Johari Abdul (PKR- Sungai Petani)yang bertanya mengenai jumlah bekas tentera tidak berpencen akibat berhenti awal dan adakah kerajaan mempertimbangkan cadangan bantuan kupon makanan bulanan terhadap golongan berkenaan.

Menurut Ahmad Zahid, sehingga 31 Disember tahun lalu, jumlah bekas tentera tidak berpencen adalah 202,675 orang di seluruh negara.

Jelas beliau, dalam tempoh tiga tahun ini, kerajaan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM82 juta bagi membantu golongan berkenaan dari segi kebajikan selain latihan kerjaya kedua golongan berkenaan.

"Setakat ini, kerajaan tidak bercadang untuk mengadakan sistem kupon makanan. Bagaimanapun bagi veteran ATM tidak berpencen iaitu berkhidmat kurang 21 tahun, pihak kerajaan melalui JHEV telah menyediakan beberapa bantuan dan kemudahan lain bagi membantu meringankan beban kos sara hidup.

"Antara skim bantuan kebajikan dan pendidikan ini termasuk bantuan sara hidup, bantuan kemasukan anak ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), bantuan persekolahan, bantuan peralatan pesakit, bantuan bencana alam dan tuntutan bayaran balik kemudahan perubatan," katanya.

Ahmad Zahid berkata, sekiranya dibuat perbandingan, kerajaan Malaysia menawarkan bantuan yang lebih baik daripada Amerika Syarikat dan Australia kerana ahli keluarga bekas tentera iaitu isteri dan anak turut mendapat manfaat.

Katanya, latihan kerjaya baru dan asas keusahawanan turut disediakan kerajaan kepada golongan berkenaan dalam tempoh tiga tahun sebelum persaraan awal. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment