My Add

Monday 4 June 2012

Johor perintis program TP-1Malaysia

JOHOR BAHRU, ISNIN, 04 Jun, 2012: Johor menjadi perintis kepada perluasan program Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP-1Malaysia) yang sebelum ini diwujudkan khusus membantu menyelenggara perumahan berstrata kos rendah swasta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur saja. 

Difahamkan, program itu akan dilaksanakan di enam kawasan yang dikenal pasti di negeri ini selepas mesyuarat Jemaah Menteri meluluskan perluasan projek berkenaan ke seluruh negara pada 20 April lalu dengan kos tambahan RM20 juta.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata setakat ini kementeriannya menerima 43 permohonan di seluruh negara bagi melaksanakan program itu.

"Bagaimanapun jumlah sebenar masih belum dipastikan kerana kita tunggu berapa banyak lagi permohonan yang akan masuk nanti. 

"Kesemua permohonan ini akan diperhalusi dan akan diproses mengikut kelayakan, tidak semestinya semua yang mohon akan dapat program ini," katanya selepas menghadiri majlis pelancaran perluasan Program Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP-1M) ke seluruh bandar di Malaysia di sini, hari ini. 

Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerja Raya dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Ahmad Zahri Jamil. 

Katanya, antara kriteria yang diberi perhatian ialah setiap permohonan mesti dilakukan oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC). 
“Bagaimanapun, mana-mana perumahan yang tidak mempunyai JMB atau MC, boleh membuat permohonan menerusi persatuan penduduk. 

"Selain itu, pihak penduduk perlu membiayai 10 peratus daripada kos penyelenggaraan dan pembaikan, manakala 90 peratus lagi akan dibiayai kerajaan melalui TP-1Malaysia," katanya. 

Beliau berkata, elemen geran sepadan itu bertujuan untuk menanamkan budaya bertanggungjawab di kalangan JMB atau MC serta semangat kerjasama di kalangan penduduk supaya wujud sikap sayangkan kawasan perumahan masing-masing. 

Sementara itu, sehingga Mei tahun ini, 18 projek di bawah TP-1Malaysia yang membabitkan peruntukan RM8.3 juta dilaksanakan oleh kementerian di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. 

Beliau berkata, 69 projek sedang dan akan dilaksanakan di kawasan itu pada tahun ini dengan peruntukan RM48.7 juta. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment