My Add

Monday 11 June 2012

Kadar jenayah di Kedah menurun

ALOR SETAR, ISNIN, 11 Jun, 2012: Statistik indeks jenayah di Kedah menunjukkan penurunan bagi kebanyakan kes yang dilapor dari 2009 hingga lima bulan pertama tahun ini, kata Ketua Polis Negeri, Datuk Ahmad Ibrahim. 

Beliau berkata, bagi bulan lalu kadarnya menurun sebanyak 108 kes iaitu kepada 915 kes berbanding 1,023 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

"Tetapi saya difahamkan bahawa berlaku peningkatan dalam jumlah laporan yang diterima mengenai kes curi motosikal dan curi motokar. Walaupun tidak begitu tinggi tetapi pihak Jabatan Siasatan Jenayah perlu memandang serius perkara ini dan memikirkan kaedah baru bagi mengatasinya," katanya selepas majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini, hari ini.

Katanya, beliau sudah mengarahkan semua pegawai polis daerah supaya memeriksa peniaga barangan lama, kedai potong kereta dan bengkel kenderaan bagi memastikan tiada kereta curi dibawa ke sana. 

"Kebanyakan kereta yang dicuri adalah kereta lama, mungkin pencuri hanya ambil komponennya untuk dijual dan saya mengarahkan pegawai polis membuat pemeriksaan di kedai berkenaan," katanya. 

Dalam ucapannya di perhimpunan itu, Ahmad berkata, jenayah komersial mencatat 85 kes bulan lalu yang membabitkan kerugian hampir RM600,000 berbanding 84 kes pada bulan sebelum itu dengan jumlah kerugian hampir RM500,000. 

"Semua pegawai dan anggota perlu memikirkan alternatif bagi menyalurkan maklumat dan peringatan kepada orang ramai supaya tidak terjebak dengan kes komersial serta menggunakan Facebook dan media lain untuk menyebarkan maklumat," katanya. 

Ahmad juga berkata, statistik tangkapan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dalam lima bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 19.8 peratus iaitu 6,103 orang. 

“Rampasan dadah dan bahan di bawah Akta Racun dianggarkan sebanyak lebih RM620,000 manakala penyitaan terhadap harta pengedar dadah adalah sebanyak RM1.7 juta,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment