My Add

Monday 11 June 2012

KBS nafi bayar belia untuk hadir Himpunan Jutaan Belia

KUALA LUMPUR, ISNIN, 11 Jun, 2012: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini menafikan membayar golongan belia untuk hadir ke Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya bulan lalu. 

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata elaun hanya diberikan kepada sukarelawan yang bertugas pada perhimpunan itu yang berbentuk kupon makanan bernilai RM15.

"Peruntukan hanya diberikan kepada sukarelawan dalam kalangan belia sebagai ganjaran itupun berbentuk kupon makanan bernilai RM15 yang boleh ditukarkan kepada makanan di gerai jualan pada perhimpunan itu... itu saja yang kami berikan.

"Seramai 20,000 sukarelawan terbabit bagi membantu kerja membersih dan sebagainya... kami tidak mahu jadi seperti perhimpunan BERSIH 3.0, mereka berhimpun tetapi tidak menjaga kebersihan dan mengotorkan kawasan," katanya di Lobi Parlimen di sini, hari ini. 

Beliau berkata, dakwaan pengunjung di beberapa negeri bahawa mereka dibayar sejumlah elaun oleh kementerian itu untuk hadir ke perhimpunan berkenaan adalah tidak berasas dan tidak benar. 

"Duit yang diperoleh mereka bukan datang dari kementerian ia mungkin dari badan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan yang menaja dan membawa mereka datang ke sana kerana kami hanya memberi elaun kepada sukarelawan bertugas saja," katanya. 

Beliau berkata, sukarelawan terdiri daripada pasukan pengakap, i-Volunteers dan Rakan Muda yang mana peruntukan dikeluarkan bertujuan untuk pembangunan dan pendidikan belia. 

Katanya, pada peringkat awal peruntukan yang disediakan untuk membantu menggerakkan kumpulan sukarelawan itu dianggarkan sebanyak RM4 juta namun perkiraan akhir akan diketahui dalam tempoh sebulan. 

"Peruntukan yang digunakan pada perhimpunan ini adalah kurang dari apa yang kami jangkakan, malah kami turut menerima sumbangan dari pihak swasta berjumlah hampir RM28 juta untuk menjayakan perhimpunan itu," katanya. 

Dalam pada itu, mengenai persembahan kumpulan K-Pop yang menjadi kontroversi pada perhimpunan itu, beliau berkata pihaknya akan mendapatkan pandangan orang ramai pada masa depan sebelum menganjurkan sebarang acara. 

"Kami juga akan lebih berhati-hati dan memantau pakaian artis yang terbabit terutama dari luar negara," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment