My Add

Friday 22 June 2012

Kemuka teguran, cadangan: Suruhanjaya Khas

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 22 Jun, 2012: Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam hari ini meminta orang ramai mengemukakan teguran dan cadangan untuk menambah baik mutu perkhidmatan awam. 

Pengerusinya, Tun Zaki Tun Azmi, berkata cadangan atau teguran itu bertujuan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan, selain memperkasa modal insan perkhidmatan awam yang responsif kepada kehendak pelanggan.

"Kalau orang awam tidak berpuas hati dengan cara perkhidmatan awam, jabatan-jabatan atau kementerian-kementerian diuruskan dan dijalankan, mereka boleh membuat cadangan kepada suruhanjaya.

"Suruhanjaya sekarang memerlukan teguran daripada tiap-tiap individu untuk menambah baik perkhidmatan awam, contohnya daripada seseorang yang pergi hospital kerajaan kena tunggu tiga hingga empat jam untuk berjumpa doktor, lepas tu tunggu lagi dua hingga tiga jam untuk dapat ubat, seharian dia di hospital," katanya dalam temu bual eksklusif di sini hari ini. 

Turut hadir, Timbalan Pengerusi suruhanjaya itu yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam. 

Zaki berkata, orang ramai boleh mengemukakan segala cadangan dan pandangan melalui e-mail sekretariat.skmtpa@jpa.gov.my, zaki.skmtpa@jpa.gov.my atau melayari http://docs.jpa.gov.my/skmtpa. 

Zaki yang juga bekas Ketua Hakim Negara, berkata setiap aduan dan teguran yang diterima akan dimajukan kepadanya dan beliau sendiri akan meneliti dan menjawabnya.

Beliau berpendapat masalah kelewatan dalam urusan perkhidmatan awam boleh diperbaiki atau dikurangkan sekiranya penyampaian perkhidmatan lebih efisien. 

Sehingga semalam, suruhanjaya berkenaan menerima sebanyak 751 aduan yang 99 peratus dibuat oleh penjawat awam mengenai isu gaji tidak mencukupi dan kenaikan pangkat. 

"Masalah yang kita hadapi sekarang ialah banyak orang salah faham, mereka ini membuat aduan bahawa gaji tidak cukup, tak dapat naik pangkat. Gaji penting dalam perkhidmatan tetapi sasaran utama kita ialah menambah baik kualiti perkhidmatan awam. 

"Kalau kita memperbaiki 'efficiency' kita mungkin boleh mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan mungkin (kerajaan) tidak perlu menambah kakitangan," katanya. 

Beliau berkata, suruhanjaya itu akan membuat cadangan penambahbaikan berdasarkan segala pandangan dan teguran yang dikumpul dalam tempoh enam bulan dari Jun hingga Disember ini, yang akan dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan selanjutnya. 

"Sama ada kerajaan mahu terima atau tidak (cadangan suruhanjaya), itu terpulang kepada kerajaan," katanya. 

Suruhanjaya itu juga merancang untuk mengadakan 'roadshow' di seluruh negara bagi memudahkan orang ramai mengemukakan cadangan mereka, katanya yang turut mencadangkan motto "Cepat dan Tepat" dalam urusan perkhidmatan awam. 

"Dua perkataan itu seharusnya menggambarkan segala-galanya dalam perkhidmatan awam," katanya. 

Penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji transformasi perkhidmatan awam itu yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan tetapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara, diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada perjumpaan khas bersama penjawat awam di Putrajaya, 8 Mac lalu. 

Selain Zaki dan Ismail, suruhanjaya itu mempunyai lima anggota iaitu bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Hadenan A Jalil; bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Hussin Ismail; bekas Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen (B) Datuk Che Hasni Che Ahmad; dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment