My Add

Sunday 10 June 2012

Kerajaan akan keluarkan geran tanah kepada 776 peserta Felda Umas-Umas

TAWAU, AHAD, 10 Jun, 2012: Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Nasir Sakaran memberi jaminan kerajaan akan menepati janji untuk menyerahkan geran milikan tanah kepada 776 peneroka Felda Umas-Umas. 

Nasir yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Felda Wilayah Sabahat, berkata pada masa ini kerajaan dan FELDA masih dalam proses melaksanakan pemberian geran tanah itu.

"Kita (FELDA) dalam proses menyediakan perkara perlu sama ada yang berkaitan dengan Felda sendiri atau Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah bagi melaksanakan penyerahan geran kepada peneroka berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Usahawan dan Koperasi Peneroka FELDA 2012, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Nasir menasihati peneroka Felda Umas-Umas supaya bersabar dan memberi ruang kepada FELDA dan pihak berkuasa berkaitan menguruskan perkara terbabit kerana pada akhirnya geran itu tetap menjadi hak mereka. 

Peneroka tidak perlu mendengar khabar angin yang cuba disebar pihak tertentu berkaitan geran berkenaan kerana kerajaan tetap akan menunaikan janji, katanya. 

Terdahulu dalam ucapannya, Nasir menasihatkan usahawan dan warga FELDA supaya menjadi peneroka berpengetahuan tinggi dan berusaha mengoptimakan kemahiran selaras dengan sasaran kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi. 

Katanya, untuk terus maju dan berjaya, usahawan serta warga FELDA perlu menumpukan kepada enam perkara termasuk berpengetahuan luas dalam mengembangkan jaringan perniagaan, bekerjasama dengan pelbagai sektor dan sentiasa berdaya saing serta bersemangat gigih untuk bersaing di peringkat global. 

Usahawan FELDA juga katanya, perlu memberi perhatian kepada aspek pengurusan sistematik dan amalan baik dalam menjalankan perniagaan, serta memanfaatkan sumber sedia ada serta merebut peluang memperluas perniagaan kepada skala lebih besar. 

Pada majlis berkenaan, Udin Ambo dari Felda Umas 1 muncul juara dalam kategori usahawan mengalahkan lima finalis lain, manakala Koperasi Peneroka Felda Sahabat 5 Berhad pula muncul johan bagi kategori koperasi. Kedua-dua pemenang akan mewakili Felda Wilayah Sahabat ke peringkat nasional. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment