My Add

Monday 25 June 2012

Kes culik peniaga pasir selesai, lima lagi ditahan

SHAH ALAM, ISNIN, 25 Jun, 2012: Kes penculikan membabitkan seorang peniaga pasir serta pekerjanya di Ijok, Kuala Selangor dekat sini pada 11 Jun lepas, dianggap selesai dengan tertangkapnya lima lagi suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd. Adnan Abdullah berkata, kelima-lima lelaki berumur 31 dan 45 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di di Selangor dan Negeri Sembilan.

"Tangkapan terakhir adalah pada Rabu lepas di Labu, Negeri Sembilan dan kita percaya dengan penahanan lima lagi suspek ini, membantu mempercepat penyelesaian ke atas kes penculikan ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

"Saya jangka dalam tempoh terdekat, siasatan kes ini akan ditutup (berjaya diselesaikan) dan kita akan dapat mengetahui motif sebenar kes dan dalang di sebalik kejadian ini,” kata Mohd Adnan.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang, peniaga pasir dan pekerjanya diculik berhampiran kilang pasir milik peniaga itu.

Kumpulan penculik kemudian meminta wang tunai berjumlah RM2 juta daripada anggota keluarga peniaga terbabit sebagai wang tebusan bagi membebaskan kedua-dua lelaki berkenaan. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment