My Add

Thursday 28 June 2012

Kuasa mendakwa SPRM akan terus dikemuka, kata Radzi

Radzi Sheikh Ahmad  
KUALA LUMPUR, RABU, 27 Jun, 2012: Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah akan terus mengemukan cadangan supaya kuasa pendakwaan kes rasuah diberi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi jawatankuasa, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad berkata tujuannya ialah bagi membolehkan SPRM dapat menjalankan tugas membanteras rasuah di negara ini dengan lebih berkesan.

Bercakap kepada pemberita di Parlimen, di sini hari ini, beliau berkata cadangan itu akan dimasukkan dalam laporan jawatankuasa mengenai Laporan Tahunan SPRM 2011 yang akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lama lagi.

"Kita telah mencadangkan perkara ini sebanyak dua kali tetapi ditolak. Kali ini kita akan kemukakan sekali lagi," katanya yang sebelum itu menerima buku Laporan Tahunan SPRM 2011 yang diserahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.

SPRM yang ditubuhkan sejak 2009 dikatakan mempunyai kuasa terhad apabila Ketua Pesuruhjaya dan pegawai-pegawai suruhanjaya itu hanya diberi kuasa untuk menyiasat di bawah Seksyen 7 Akta SPRM 2009.

Berdasarkan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk memulakan pendakwaan kekal di tangan Peguam Negara.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dilaporkan berkata kerajaan tidak berhasrat menyerahkan kuasa mendakwa kepada SPRM kerana terdapat keperluan untuk memeriksa dan mengimbangi "pemikiran bebas" di antara penyiasatan dengan pendakwaan.

Mengenai laporan tahunan itu, Mohd Radzi berkata, jawatankuasa akan meneliti laporan berkenaan bersekali dengan Ulasan Lembaga Penasihat SPRM sebelum membuat satu laporan jawatankuasa yang kemudian akan diserahkan kepada Perdana Menteri.

"Susulan kepada laporan tahunan ini, jawatankuasa akan bermesyuarat, di mana kita boleh memanggil mana-mana pihak, sama ada SPRM ataupun anggota Lembaga Penasihat sekiranya memerlukan penjelasan lanjut berhubung sesuatu perkara.

"Jawatankuasa kemudian akan menyediakan satu laporan yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri yang akan membentangkannya di Dewan Rakyat pada sesi persidangan akan datang dan akan dibahaskan," katanya.

Mohd Radzi mengulangi gesaan jawatankuasa itu supaya jenayah rasuah tidak dipolitikkan kerana ia hanya akan merencatkan usaha menangani gejala rasuah di negara ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment