My Add

Thursday 28 June 2012

Malaysia contoh negara Islam berjaya - Presiden Guinea

PUTRAJAYA, RABU, 27 Jun, 2012: Presiden Republik Guinea, Alpha Conde tertarik dengan Malaysia dan menyifatkannya sebagai negara Islam yang patut diteladani.

Katanya Malaysia banyak terlibat dengan Kerjasama Selatan-Selatan dan kerjasama dalam kalangan negara Islam.

"Guinea sebuah negara Islam dengan 90 peratus rakyatnya menganut agama itu.

Bagi kami, Malaysia adalah contoh negara Islam yang berjaya.

"Kami berkunjung ke sini untuk mencari pengetahuan dan belajar daripada Malaysia serta mengamalkan dan mengguna pakai pelajaran yang kami dapat di sini," katanya pada sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mesyuarat dua hala Malaysia-Guinea di Kompleks Perdana Putra di sini, hari ini.

Conde, yang dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke sini mulai semalam, juga memuji kepimpinan Najib.

"Perdana Menteri cukup sederhana. Semua orang tahu tentang pencapaian (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad. Kini, kita lihat Najib meneruskan kejayaan itu," katanya.

Conde mempelawa rakyat Malaysia menjalankan perniagaan dan melabur di Guinea, yang sebahagian besar ekonominya bergantung pada sektor perlombongan, pertanian dan perikanan.

Katanya Guinea sedang melaksanakan pelbagai perubahan dasar untuk menyegarkan semula prestasi pertumbuhan ekonominya.

Beliau berkata memorandum persefahaman mengenai perlindungan pelaburan dan cukai berganda yang ditandatangani kedua-dua negara akan memberi perlindungan kepada pelabur Malaysia.

"Kami sudah melaksanakan beberapa perubahan berkaitan keselamatan dan kini dalam proses menyemak semula sistem kehakiman kami.

"Kami telah berjaya menstabilkan matawang. Kini, kami melakukan perubahan dalam bidang pentadbiran pula untuk mewujudkan rangka kerja yang kondusif untuk sektor swasta.

"Dulu, pentadbiran kami bersifat diktator, tapi kini kami mengamalkan demokrasi. Kami dalam proses untuk memperkukuh asas demokrasi di negara kami kerana demokrasi memberi jaminan terbaik kepada syarikat swasta," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment