My Add

Wednesday 13 June 2012

Kumpulan tumpuan bajet mula mesyuarat hari ini

KUALA LUMPUR, RABU, 13 Jun, 2012: Kumpulan Tumpuan pertama Kementerian Kewangan bagi Bajet 2013 memulakan perbincangan hari ini mengenai inisiatif baru untuk meningkatkan pelaburan swasta dan cabaran semasa berikutan keadaan ekonomi global yang tidak menentu sekarang. 

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata antara isu yang dibincangkan ialah meningkatkan produktiviti dan inovasi, melaksanakan aktiviti tokokan nilai tinggi, kekurangan buruh mahir, meningkatkan penyediaan perkhidmatan awam dan mengurangkan kos menjalankan perniagaan.

Beliau berkata, memandangkan cabaran luaran, Malaysia perlu menumpukan usaha mengukuhkan permintaan domestik terutamanya dalam meningkatkan pelaburan swasta dan tidak cepat berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai sekarang.

"Isu mengenai pelaburan swasta sudah dibincangkan dalam banyak forum termasuk perundingan bajet baru-baru ini. 

"Itulah sebabnya mengapa Kumpulan Tumpuan hari ini akan membincangkan mengenai isu itu dan mencari cadangan konkrit tentang cara-cara untuk meningkatkan pelaburan swasta," katanya pada taklimat media di sini, hari ini. 

Ahmad Husni berkata, pelaburan swasta meningkat sebanyak 16.6 peratus kepada RM111.8 bilion tahun lalu daripada RM95.9 bilion pada 2010. 

"Aliran yang menggalakkan ini berterusan pada suku pertama tahun ini dengan pelaburan swasta mencatatkan jumlah sebanyak RM34.1 bilion," katanya. 
Beliau berkata, hasil daripada perbincangan itu akan berfungsi sebagai input dalam perangkaan Bajet 2013, yang akan dibentangkan di Parlimen oleh Perdana Menteri pada 28 September 2012. 

Sejumlah 17 sesi mesyuarat kumpulan tumpuan yang mewakili 17 sektor utama akan berlngsung pada minggu-minggu berikutnya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment