GEORGETOWN, JUMAAT, 01 Jun, 2012: Seorang lelaki yang cuba menyerang anggota polis dengan sebilah pedang samurai cedera di paha selepas terkena tembakan yang dilepas anggota terbabit, dalam kejadian di Lebuh Macallum awal hari ini.
Jurucakap polis berkata, dalam kejadian 4.20 pagi itu, tiga anggota polis dari pos Macallum sedang meronda berhampiran sebuah medan selera di situ apabila terdengar jeritan seorang wanita memanggil mereka.
"Tiga anggota itu bergegas ke arah wanita berkenaan yang memaklumkan ada orang bergaduh di sebuah gerai makan di situ," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Polis mendapati dua lelaki sedang bergaduh dengan pelanggan dan seorang daripada mereka yang memegang pedang samurai bertindak menyerang ketiga-tiga anggota terbabit sebaik ternampak mereka.
"Salah seorang anggota kita melepaskan tembakan bagi mempertahan diri dan ia terkena pada paha kiri lelaki berusia 33 tahun itu, manakala rakannya yang panik melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Barat Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Lelaki yang cedera itu kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dan siasatan awal mendapati dia mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan curi dan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.
Polis turut merampas pedang berkenaan serta giat mengesan rakan lelaki tersebut, katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment