My Add

Friday, 1 June 2012

TUDM perlu kenal pasti aset strategik lain untuk operasinya

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 01 Jun, 2012: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) perlu mengenal pasti aset strategik seperti 'Airborne Early Warning', 'Maritime Patrol Aircraft' dan radar pertahanan udara bagi meningkatkan keupayaan pasukan itu. 

Bertitah mencadangkan perkara itu, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah selaku Kolonel Kehormat TUDM turut yakin kerajaan akan merealisasikan keperluan tersebut sekalipun perolehan aset terbabit memerlukan peruntukan besar.

"...ini kerana kedaulatan dan keselamatan negara adalah menjadi matlamatnya," titah baginda selepas memeriksa kawalan kehormat sempena ulang tahun ke-54 TUDM di Pangkalan Udara Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. Hadir sama Panglima TUDM Jen Datuk Seri Rodzali Daud. 

Baginda bertitah, perolehan pesawat EC725 pada tahun depan dan A400M pada 2015, serta beberapa kelengkapan lain akan mencorakkan suasana baru dalam operasi udara TUDM melalui pelan transformasi TUDM Generasi Masa Depan. 

"Saya yakin TUDM akan mencapai visi strategiknya untuk menjadi sebuah kuasa udara yang dominan,segala kelemahan organisasi termasuk transformasi minda dan kekangan bajet dan keusangan peralatan perlu ditangani secara profesional," titah baginda. 

Sultan Ahmad Shah turut bertitah, keupayaan yang dimainkan oleh bahagian dukungan tidak boleh diketepikan begitu saja kerana ia membabitkan kemampuan elemen-elemen material dan kejuruteraan yang cekap mampu menyokong pengoperasian untuk aset-aset strategik yang bakal diperolehi. 

"Tanpa komitmen dan sumbangan padu, keupayaan TUDM untuk mendukung pengoperasian peralatan canggih menjadi sukar. Sehubungan itu TUDM, perlu melihat sejauh mana transformasi bahagian ini mampu memberi dukungan logistik, agar 'Airforce-Next Generation' dapat berdaya tahan untuk jangka masa panjang," titah baginda. 

Pada majlis meraikan ulang tahun itu, seramai 15 pegawai dan 260 anggota lain-lain pangkat menyertai istiadat pembarisan, serta diserikan dengan persembahan penerbangan lintas hormat dari tiga pesawat Nuri, Hawk dan Aermacchi hari ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment