My Add

Sunday 10 June 2012

LKIM Terengganu peruntuk RM5.2j untuk projek rumah nelayan

KUALA TERENGGANU, AHAD, 10 Jun, 2012: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri Terengganu menyediakan peruntukan bantuan dana RM5.2 juta untuk projek khas perumahan nelayan negeri ini pada tahun ini. 

Pengarah LKIM negeri, Mohd Saffe Mohd, berkata sehingga Mei lalu, LKIM sudah mengenal pasti dan meluluskan 569 rumah di bawah program tersebut.
"Projek perumahan nelayan ini membabitkan tiga kategori iaitu pembaikan rumah dengan nilai maksimum RM10,000 setiap sebuah, pembinaan rumah baru (RM40,000) dan penempatan semula nelayan.

"Kita akan mulakan projek ini di daerah Setiu dulu dalam jangka masa terdekat dan seterusnya diikuti daerah lain," katanya di sini, hari ini. 


Beliau berkata, tumpuan LKIM Terengganu tahun ini terarah kepada projek membaiki dan penempatan semula rumah nelayan bagi mewujudkan komuniti nelayan secara berpusat dengan melaksanakan pelbagai aktiviti ekonomi dan sosial. 

"Mereka yang berhak menerima bantuan dana ini haruslah warganegara Malaysia, nelayan sepenuh masa selain mempunyai kad nelayan yang diperakukan," katanya. 

Menurut Mohd Saffe daripada jumlah projek itu, 180 projek akan dilaksanakan di Setiu, Besut (34), Dungun (87), Kuala Terengganu Selatan (20), Kemasek (126), Kijal (66) dan Paka (56). 

Beliau berkata, projek di Setiu membabitkan angka paling banyak iaitu RM1,387,000, Besut RM340,000, Dungun RM870,000, Kuala Terengganu Selatan RM200,000, Kemasek RM1,210,000, Kijal RM660,000 dan Paka RM560,000. 

Mohd Saffe berkata, konsep projek khas perumahan nelayan adalah berpandukan kepada aktiviti yang berkaitan dengan kerja-kerja baik pulih dan membina rumah baru nelayan dengan pasarana asas yang selesa. 

Ia bagi merealisasikan ucapan bajet 2012 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 7 Oktober lalu dengan peruntukan RM300 juta yang akan dilaksanakan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam tempoh tiga tahun bermula 2012. 

Sehubungan itu, Mohd Saffe berkata, beliau berharap tiada lagi rumah nelayan yang mencacatkan pemandangan di Terengganu pada masa akan datang apabila projek itu dilaksanakan sepenuhnya nanti. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment