My Add

Sunday 10 June 2012

Muhyiddin ke Korea Selatan esok

KUALA LUMPUR, AHAD, 10 Jun, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melakukan lawatan kerja selama dua hari ke Korea Selatan mulai esok untuk merasmikan sambutan Hari Malaysia di Ekspo Yeosu 2012, yang berlangsung di bandar pelabuhan Yeosu. 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar, Pavilion Malaysia di Ekspo Yeosu itu akan menonjolkan usaha melindungi persekitaran maritim dan pesisiran pantai dan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi ekopelancongan.
Ia juga dapat menaikkan profil Malaysia sebagai negara yang bertanggungjawab dalam usaha melindungi persekitaran semulajadi.

Sempena lawatan itu, Muhyiddin dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Korea, Kim Hwang-Sik di Seoul bagi membincangkan isu dua hala, serantau dan antarabangsa. 

Sebelum ini, Muhyiddin pernah mengadakan dua lawatan kerja ke Korea semenjak menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri iaitu dari 26 hingga 29 Julai tahun lalu sebagai Menteri Pelajaran dan 25 hingga 27 Mac lalu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di Seoul. 

Menurut kenyataan itu, lawatan kerja itu akan memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan terutama daripada segi perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan dan pertukaran sains dan teknologi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment