My Add

Wednesday 13 June 2012

Badan Peguam mohon batal saman pertikai EGM

KUALA LUMPUR, RABU, 13 Jun, 2012: Badan Peguam Malaysia dan Majlis Peguam hari ini memohon Mahkamah Tinggi di sini membatalkan saman yang difailkan oleh seorang peguam berhubung mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang diadakan 11 Mei lalu.

Permohonan tersebut dikemukakan oleh peguam Tommy Thomas dan Idza Hajar Ahmad Idzam (mewakili defendan) di dalam kamar Hakim Datuk John Louis O'Hara.

Turut hadir peguam Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dan Shaharudin Ali yang mewakili Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Shaharudin memberitahu pemberita bahawa kedua-dua defendan memfailkan permohonan itu dengan mendakwa Mohd Khairul Azam tidak mempunyai locus standiuntuk memfailkan saman.

"Majlis Peguam dan Badan Peguam juga telah memberi alasan (dalam permohonan membatalkan saman) mengapa EGM itu sah di sisi undang-undang. Kami diarahkanuntuk memfailkan afidavit jawapan sebelum atau pada 21 Jun," katanya.

Shaharuddin turut memberitahu bahawa O'hara menetapkan 28 Jun untuk pengurusan kes.

Mohd Khairul Azam menamakan Majlis Peguam sebagai defendan pertama manakala Badan Peguam, presidennya Lim Chee Wee dan setiausahanya Tony Woon Yeow Thong sebagai defendan kedua hingga keempat.

Dalam pernyataan tuntutan, Mohd Khairul Azam, yang menganggotai Badan Peguam Malaysia dan Majlis Peguam, mendakwa bahawa notis memanggil EGM itu dikeluarkan kurang dari tujuh hari sebelum 11 Mei, selain menyatakan anggota majlis tersebut tidak dimaklumkan dengan sewajarnya.

Beliau mendakwa bahawa Woon telah mengeluarkan notis EGM pada 4 Mei, tanpa menyebut sama ada Majlis Peguam sudah memutuskan dalam mesyuarat mereka sebelum itu untuk mengadakan EGM.

Beliau berkata, usul yang dibincangkan dalam EGM itu melanggar Akta Hasutan 1948 kerana membincangkan perkara yang di luar bidang kuasa undang-undang yangmengawal selia pihak defendan.

Mohd Khairul Azam mendakwa bahawa anggota-anggota Badan Peguam sudah diprejudis melalui usul berkenaan dan 14,189 anggota majlis diletakkan dalam
keadaan skandal menerusi perbincangan secara terbuka serta bidang profesion mereka dicemuh.

EGM tersebut meluluskan usul dengan 939 undi menyokong 16 menentang meminta Ketua Polis Negara dan Kementerian Dalam Negeri memohon maaf atas penggunaan kekerasan yang berlebihan terhadap penunjuk perasaan dan wartawan semasa perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lepas. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment