My Add

Tuesday 12 June 2012

Malaysia belum buat keputusan sertai Statut Rom: Nazri

KUALA LUMPUR, SELASA, 12 Jun, 2012: Malaysia belum membuat keputusan sama ada hendak menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (Statut Rom).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata ini kerana kerajaan mahu memastikan obligasi yang terkandung dalam Statut Rom itu dapat dilaksanakan terlebih dulu.

"Terdapat beberapa peruntukan dalam Statut Rom itu dan kuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (MJA) yang menimbulkan keraguan atau kesulitan dari segi undang-undang," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Antaranya ialah artikel 27 mengenai kekebalan imuniti atau peraturan khas yang digunapakai kepada seseorang menyandang jawatan rasmi di bawah undang-undang domestik atau antarabangsa yang tidak menghalang MJA menjalankan bidang kuasanya atas orang itu.

"Hal ini perlu dikaji semula kerana menyentuh isu imuniti dan kekebalan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya menjawab soalan M Kulasegaran (Ipoh Barat).

Oleh itu, katanya, antara kaedah terbaik memenuhi obligasi itu ialah memastikan rangka perundangan Malaysia dikemaskini bagi membolehkan pendakwaan dibuat mengikut prinsip undang-undang antarabangsa.

Statut Rom di bawah Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu adalah perjanjian yang mewujudkan MJA dan turut menetapkan fungsi, bidang kuasa dan struktur mahkamah negara yang menyertainya.

Sehingga Februari lalu, sebanyak 120 negara menyertai Statut Rom yang dimeterai pada Julai 1998.

Nazri berkata, walaupun bukan negara peserta, Malaysia masih boleh membenarkan MJA melaksanakan bidang kuasanya atas satu kesalahan sekiranya berlaku di Malaysia dengan adanya perjanjian khas tentang perkara itu.

"Perkembangan kes yang dibawa ke MJA juga akan dipantau teliti bagi memastikan keberkesanan dan ketelusan MJA dalam melaksanakan fungsi dan kewajipannya," katanya.

Menjawab soalan tambahan Fong Po Kuan (Batu Gajah), Nazri berkata sukar menentukan bila Malaysia akan menyertai Statut Rom itu.

"Kita buat keputusan secara prinsipnya untuk menyertainya tetapi kita sukar tentukan bila kerana ini membabitkan banyak pihak dan memerlukan penelitian terhadap statut itu serta tindakan domestik yang perlu," katanya secara tidak langsung merujuk kepada kenyataannya pada Mac lalu mengenai persetujuan Malaysia menyertai Statut Rom. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment