My Add

Saturday 9 June 2012

Malaysia destinasi mudah berniaga: Najib

*NAJIB menandatangani plak sebagai tanda perasmian Travelex sambil diiringi Rakesh Aravind (lima kiri), Lloyd Dorfman (empat kiri), A P Arumugam (dua kiri) dan Abd. Rahim Abdul (kiri) pada majlis pelancaran Travelex Malaysia Sdn. Bhd. di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD AZIM ABD RAHMAN

KUALA LUMPUR, JUMAAAT, 08 Jun, 201: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pertambahan bilangan pelabur asing serta syarikat ternama dunia di sini membuktikan Malaysia sebuah destinasi yang mudah untuk menjalankan perniagaan.

Perdana Menteri berkata, kehadiran syarikat seperti pakar pertukaran mata wang asing utama dunia, Travelex Group membuktikan undang-undang berkaitan kewangan di negara ini adalah kondusif untuk perniagaan mereka.

Justeru katanya, operasi syarikat terbabit di negara ini membuktikan mereka menyokong dasar-dasar kerajaan serta selesa dengan etika perniagaan yang diamalkan di Malaysia.


"Salah satu keutamaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) adalah untuk memudahkan (operasi) syarikat global menjadikan Malaysia sebagai pangkalan mereka dan memacu kemajuan dalam perniagaan dan teknologi merentasi Asia Tenggara dan Asia.

"Inilah mesej yang kita cuba beritahu dunia bahawa adalah mudah untuk menjalankan perniagaan di sini," katanya ketika berucap melancarkan Travelex Malaysia Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Hadir sama Pengurus Negara Travelex Malaysia Sdn Bhd, Rakesh Aravind, Pengerusi dan Pengasas Travelex Malaysia, Lloyd Dorfman, Pengarah Urusan Travelex Malaysia, Tan Sri A P Arumugam serta Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Sycal Ventures Berhad, Datuk Seri Abd. Rahim Abdul.

Najib yang juga Menteri Kewangan menambah, kerajaan sentiasa berusaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan langsung asing (FDI) kerana sektor perkhidmatan kewangan kini semakin penting.

Sebagai contoh katanya, sektor perkhidmatan kewangan di Malaysia telah berkembang maju sejak 10 tahun lalu dengan industri pertukaran dan pengiriman wang tidak lagi hanya dimonopoli oleh bank-bank.

Menurut beliau, setakat Mac tahun ini terdapat 805 syarikat terlibat dalam perniagaan perkhidmatan wang dengan 764 adalah pengurup mata wang berlesen, 39 syarikat pengiriman wang dan dua pemborong mata wang.

"Dengan kepentingan khidmat pengiriman wang formal terutama membabitkan pekerja asing, Bank Negara Malaysia telah meliberalisasikan dasarnya dengan membenarkan penggiat industri selain bank menyertai pasaran," katanya.

Justeru, beliau berbangga kerana Travelex Group memilih Malaysia sebagai pangkalan operasi mereka dan berharap syarikat itu tidak hanya menumpukan operasi di bandar-bandar utama di negara ini tetapi akan turut berkembang ke Sabah dan Sarawak. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment