My Add

Saturday 9 June 2012

Muhammad Anuar, Che Aminah ungguli tilawah kebangsaan

*SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar menyampaikan piala kepada Muhammad Anuar Ghazali sambil diperhatikan Jamil Khir Baharom pada majlis penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-55 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru, malam tadi. - Utusan/Nasirruddin Yazid

JOHOR BAHRU, JUMAAT, 08 Jun, 2012: Guru dari Kelantan, Muhammad Anuar Ghazali dan suri rumah dari Wilayah Persekutuan, Che Aminah Che Awang masing-masing diumumkan sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-55 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor yang berakhir malam ini.

Muhammad Anuar menewaskan 13 qari lain dengan pungutan markah sebanyak 93.66 peratus manakala Che Aminah mengalahkan 12 qariah lain dengan pungutan markah sebanyak 84.33 peratus.

Kemenangan itu membolehkan kedua-dua qari dan qariah berkenaan masing-masing membawa pulang wang RM15,000 berserta pakej menunaikan haji, piala pusingan dan hadiah iringan.

Naib johan qari pula disandang Zul-Hasyimi Mohamed Yunus dari Pahang sementara naib johan qariah pula dimenangi Nur Faten Izzati Rablin dari Sabah dengan masing-masing membawa pulang wang RM7,000 berserta hadiah iringan.

Tempat ketiga qari diraih Mohamad Raffe Ghalil Abbas dari Sabah sementara qariah pula oleh Marzian Mohd. Deli dari Kedah dengan masing-masing menerima wang RM5,000 berserta hadiah iringan.

Johan keseluruhan tilawah bertemakan Persefahaman Asas Perpaduan Ummah itu dimenangi Pahang yang mengumpul markah sebanyak 83.17 peratus.

Hadiah kepada pemenang qari disampaikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar manakala Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah pula menyampaikan hadiah kepada pemenang qariah.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman serta Exco kerajaan negeri.

Sementara itu, Muhammad Anuar berkata, hadiah untuk menghantar ibu bapanya ke Tanah Suci.

Bagi Che Aminah, pula, dia akan mengusahakan yang terbaik apabila mewakili negara pada tilawah peringkat antarabangsa pada Julai ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment