My Add

Friday 1 June 2012

Malaysia ke-14 kompetitif

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Transformasi ekonomi Malaysia semakin diiktiraf global dengan ekonomi negara sekarang berada di kedudukan ke-14 paling kompetitif di dunia, yang seterusnya mampu menewaskan beberapa negara maju.

Ia memperoleh skor tinggi berbanding Australia, United Kingdom, Korea Selatan, China dan malahan Jepun, kata Institute for Management Development (IMD) yang berpangkalan di Switzerland.

Malaysia mengukuhkan keseluruhan daya saingnya dengan meningkat daripada kedudukan ke-16 tahun lepas, kata IMD dalam satu kaji selidik 59 negara yang mengukur sejauh mana negara-negara menguruskan ekonomi dan sumber manusia mereka untuk meningkatkan kemajuan.

Ranking ini menempatkan Malaysia di hadapan negara-negara seperti Australia (ke-15), United Kingdom (ke-18), Korea (ke-22), China (ke-23), Jepun (ke-27), Perancis (ke-29), Thailand (ke-30), Indonesia (ke-42) dan Filipina (ke-43).

Menurut rangking IMD, 15 ekonomi paling kompetitif di dunia ialah Hong Kong, Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Sweden, Kanada, Taiwan, Norway, Jerman, Qatar, Belanda, Luxembourg, Denmark, Malaysia dan Australia.

Di kalangan negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita kurang daripada AS$20,000, Malaysia mengekalkan kedudukan keduanya di kalangan 29 negara mengatasi China, Chile dan Thailand.

Di kalangan negara Asia Pasifik, Malaysia naik satu tangga ke kedudukan keempat selepas Hong Kong, Singapura dan Taiwan.

Penambahbaikan keseluruhan rangking Malaysia dalam kaji selidik IMD itu mencerminkan kesan daripada langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk menambah baik daya saing ekonomi, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Langkah-langkah yang pelbagai ini termasuk menambah baik penyediaan dan kecekapan perkhidmatan awam dan meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, peningkatan daya saing Malaysia itu hasil daripada inisiatif berani dan inovatif yang diambil kerajaan tahun lepas bagi memacu pembangunan negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment