My Add

Tuesday 26 June 2012

Malaysia perlu cari teknologi baru - TPM

*MUHYIDDIN Yassin menyampaikan anugerah Excellent Contribution to Global Postharvest Horticulturekepada Prof. Dr. Adel A. Kader (dua dari kiri) sambil diperhatikan Noh Omar dan Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Hashim Abdullah di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, ISNIN, 25 Jun, 2012: Malaysia perlu terus mencari teknologi dan ilmu baru yang secara efektif mampu mempercepatkan program transformasi pertanian.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain inovasi menjadikan sektor pertanian negara lebih kompetitif, kerajaan akan menjana lebih banyak inisiatif dan memperuntukkan lebih banyak insentif untuk pembangunan teknologi lepas tuai.

"Peruntukan khas dan geran penyelidikan serta pembangunan (R&D) akan diberi untuk menyokong inisiatif ini. Dengan gabungan teknologi serta ilmu baru diharapkan ia akan menggalakkan sektor pengeluaran pertanian, sekali gus menyumbang bekalan makanan untuk negara dan dunia," katanya ketika merasmikan Simposium Lepas Tuai Antarabangsa (IPS) Ke-7 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Sains Hortikultur Antarabangsa (ISHS), Dr. Sirichai Kanlayanarat dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar .

Menurut Muhyiddin, melalui kemajuan teknologi pengendalian lepas tuai, sumbangan hasil tanaman hortikultur kepada jumlah eksport negara telah meningkat.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan Anugerah Sumbangan Cemerlang Hortikultur Lepas Tuai Global kepada Prof. Dr. Adel A. Kader, seorang pensyarah sebuah universiti di Amerika Syarikat.

Beliau turut melancarkan empat buku bertajuk Biologi Lepas Tuai dan Teknologi Buah-buahan Tropikal dan Sub-tropikal.

Malaysia negara pertama di Asia menjadi tuan rumah simposium itu yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment