My Add

Tuesday 26 June 2012

Golongan kurang upaya juga mampu beri sumbangan- PM

KUALA LUMPUR, ISNIN, 25 Jun, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak golongan orang kurang upaya (OKU) mencontohi tokoh-tokoh OKU dunia yang berjaya memberi sumbangan kepada pembangunan masyarakat sejagat walaupun berdepan pelbagai kesukaran.

Malah, Perdana Menteri turut memberi contoh tokoh OKU tempatan berjaya seperti Allahyarham Prof. Datuk Dr. Ismail Md. Salleh yang cacat penglihatan tetapi mampu meletakkan diri selaku pakar ekonomi.

"Semua tokoh ini harus dijadikan contoh dan teladan sebagai OKU, ia tidak bererti dunia kita akan gelap selama-lamanya atau tidak boleh memberi sumbangan kepada negara atau diri dan keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan bilik pameran pengedar sah Perodua yang pertama dimiliki dan berkonsepkan mesra OKU, Faresh Motor (M) Sdn. Bhd. (Faresh Motor) di Selayang, dekat sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh dan Pengarah Urusan Faresh Motor, Ahmad Faresh Ahmad Zahid.

Najib berkata, di peringkat kerajaan, golongan OKU adalah golongan istimewa yang dianugerahkan Allah dan mereka tidak akan dipinggirkan dalam arus pemodenan negara.

"Apabila saya memperkenalkan gagasan 1Malaysia, ia berpaksi kepada beberapa prinsip asas iaitu keadilan sosial. Namun, gagasan itu tidak bererti ia hanya mengambil kira kaum atau etnik semata-mata tetapi pertimbangan gender dan golongan OKU.

"Mereka adalah golongan yang memerlukan yang bukan menagih simpati tetapi ingin diberikan peluang supaya boleh menjalani hidup dengan rasa maruah tinggi. Oleh itu, kita harus menyediakan satu dasar kebajikan yang produktif untuk mereka memperoleh pelbagai peluang termasuk peluang berniaga," ujarnya.

Pada masa sama, Najib turut memuji Perodua yang memberi peluang kepada Ahmad Faresh membuka bilik pameran kereta dan menegaskan ia harus diikuti syarikat-syarikat lain termasuk sektor awam dalam membela nasib OKU.

Terdahulu, beliau menyaksikan penyerahan sumbangan sebuah kereta Perodua Alza oleh Perodua kepada Yayasan Baitur Rahah manakala pemegang saham utama Faresh Motor, Kini Unggul Sdn. Bhd. pula menyumbang RM10,000 kepada Persatuan Orang-Orang Cacat Anggota Malaysia (Pocam). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment