KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGV) ke Bursa Malaysia dilihat mampu meletakkan syarikat komoditi itu di tahap yang lebih tinggi pada masa akan datang.
Justeru, Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohamad Noorizuddin Nooh berkata, usaha menggerakkan ekonomi itu patut disokong dan dimanfaatkan sebaiknya terutama warga peneroka.
"Jika dilihat pada prospektus yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, saya yakin ia pastinya sudah diteliti sebaiknya selain bersedia dengan perancangan risiko sekiranya ditimpa sebarang kemudaratan dan musibah.
"Cuma yang merisaukan saya adalah pemain-pemain saham kecil seperti peneroka yang tidak serius terhadap pelaburan saham dengan menjualnya ketika peringkat awal keuntungan diperoleh akibat tidak memahaminya dan bimbang akan kerugian.
"Penjualan itu bukan sahaja menyebabkan FGV mengalami kecairan aset tetap, malah merencatkan perancangan syarikat pada tempoh jangka panjang sekali gus menggagalkan matlamat Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2020," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelancaran prospektus FGV oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini sempena penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia yang dijangka disenaraikan pada 28 Jun tahun ini.
Katanya, pemain saham terutama peneroka perlu bersabar dan mengikut perancangan yang dilakukan agar manfaat itu mereka peroleh dalam jangka masa panjang.
"Saya berpendapat saham yang mereka miliki itu umpama percuma sahaja kerana keuntungan bakal miliki daripada penyenaraian itu sebenarnya lebih tinggi daripada pinjaman yang mereka lakukan untuk pelaburan berkenaan.
"Justeru saya sarankan peneroka atau pemain-pemain saham terlibat janganlah mudah terpedaya dengan hasutan atau kata-kata orang bahawa penyenaraian itu merugikan," katanya.
Mohamad menambah, kerajaan wajar menyediakan pendidikan berhubung pelaburan saham melalui wakil atau pegawai berkaitan kepada peneroka umumnya kerana pada pemerhatian saya majoriti mereka tidak memahaminya.
"Ia adalah langkah agar mereka ini tidak mudah terpedaya dengan menjual untuk mendapat wang secara cepat akibat bimbang kerugian yang terpaksa ditanggung walaupun kerugian itu tidak mungkin berlaku secara kritikal," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment