My Add

Tuesday 12 June 2012

MAS, JAL mulakan kerjasama perkongsian kod

KUALA LUMPUR, ISNIN, 11 Jun, 2012: Malaysia Airlines (MAS) dan Japan Airlines (JAL) akan memulakan kerjasama perkongsian kod mulai 1 Julai, 2012, merangkumi sehingga 347 penerbangan mingguan daripada 51 sektor termasuk laluan utama menguntungkan Malaysia-Jepun.

MAS dalam satu kenyataan hari ini berkata kerjasama tersebut juga akan termasuk penerbangan antarabangsa dan domestik terpilih oleh kedua-kedua syarikat penerbangan itu.

Jualan bagi perkongsian kod ini akan bermula pada 12 Jun, kata syarikat penerbangan nasional itu.

"Ini merupakan sebahagian daripada strategi MAS bagi membangunkan kerjasama komersil dengan ahli sekutu Oneworld ketika ia bersiap sedia menjadi ahli penuh sekutu itu sebelum akhir 2012.

"Ia juga merupakan sebahagian daripada inisiatif MAS bagi meningkatkan hubungan udara dengan pasaran keutamaan penting luar negara bagi menambah kedatangan pelancong ke Malaysia seperti yang disasarkan oleh Program Transformasi Ekonomi kerajaan," kata MAS.

Ketua Pegawa Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata perjanjian itu akan memberikan peluang terbaik kepada syarikat penerbangan tersebut mengembangkan capaiannya tanpa perlu menambahkan penerbangannya sendiri ke bandar raya di Jepun dan tempat-tempat lain di Asia Utara dan AS.

"Kerjasama ini dijangka memberi sumbangan besar kepada peningkatan kedatangan pelancong ke Malaysia.

"Sebagai satu daripada destinasi pelancong paling mampu milik di Asia Pasifik, kami yakin lebih ramai pelancong dari bahagian-bahagian lain di Jepun akan mengambil peluang untuk menggunakan perkongsian kod ini dan melawat Malaysia," katanya.

Perkongsian kod bagi laluan utama menguntungkan Malaysia–Jepun merangkumi 11 penerbangan pergi balik MAS Kuala Lumpur (KL)-Tokyo 11 kali seminggu dan enam penerbangan pergi balik KL Osaka 11 kali seminggu serta penerbangan pergi balik JAL bagi laluan Tokyo-KL setiap hari.

Penerbangan harian pergi balik JAL yang terlibat dalam perjanjian perkongsian kod ini ialah Tokyo–Nagoya, Tokyo–Fukuoka dan Tokyo–Sapporo manakala penerbangan pergi balik domestik harian MAS yang termasuk dalam perjanjian ini KL–Kota Kinabalu, KL–Pulau Pinang, KL–Langkawi, KL–Kuantan dan KL–Kuching.

Di peringkat antarabangsa, penerbangan pergi balik harian oleh JAL yang termasuk dalam perkongsian kod itu ialah Tokyo–Hong Kong, Tokyo–Seoul dan Tokyo–Taipei.

Penerbangan JAL antara Tokyo dan AS juga akan dimasukkan dalam perjanjian ini.

Ini termasuk laluan pergi balik harian seperti Tokyo–Guam, dan Tokyo–Honolulu serta penerbangan sehala dari Tokyo ke Boston, Tokyo ke Chicago dan Tokyo ke New York.

Pelanggan JAL seterusnya akan menikmati manfaat daripada perkongsian kod dengan MAS ini di penerbangan pergi balik Asia Selatan seperti KL–Delhi dan penerbangan harian antara KL dan bandar raya Mumbai, Bangalore, Hyderabad, Chennai, Colombo dan Male. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment