KUCHING, JUMAAT, 01 Jun, 2012: Masyarakat Dayak di Sarawak hari ini menyambut perayaan Gawai Dayak secara sederhana namun tetap meriah dengan amalan tradisi kunjung mengunjung dan rumah terbuka.
Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin dan isteri serta Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri antara pembesar negeri yang turut memeriahkan sambutan itu dengan berkunjung ke rumah pemimpin negeri dari keturunan Dayak.
Pagi ini Yang Dipertua Negeri dan Ketua Menteri meluangkan masa berkunjung ke rumah Menteri Muda Pembangunan Prindustrian Datuk Peter Nansian Ngusie di Taman BDC, dekat sini.
Turut sama berkunjung ke rumah Nansian ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Perumahan, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Ahli Parlimen Mas Gading, Datuk Dr Tiki Lafe.
Sementara itu, Nansian ketika ditemui pemberita berkata beliau berharap sambutan Gawai kali ini dijadikan asas untuk kembali menyatupadukan masyarakat Dayak di Sarawak.
Katanya amalan kunjung mengunjung serta rumah terbuka akan dapat merapatkan lagi hubungan dalam kalangan masyarakat Dayak dan juga dengan kaum lain di negeri itu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment