My Add

Thursday 28 June 2012

Memartabatkan bahasa Melayu

KUALA LUMPUR, RABU, 27 Jun, 2012: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengambil pendekatan menegur, menasihat dan mendidik dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bukannya menghukum menerusi tindakan undang-undang.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, walaupun peruntukan sedia ada mencukupi untuk tindakan tegas diambil, kerajaan percaya usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu mendapat kerjasama ikhlas semua pihak tanpa mengira sektor awam dan swasta.

Jelas beliau, buat ketika ini penguatkuasaan dalam perkara tersebut di tempat awam diberi kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) namun DBP mempunyai unit khusus dalam membuat teguran agar bahasa Melayu digunakan secara betul dan tepat.

"Sebenarnya, kita mengambil pendirian pendidikan lebih penting dari penguatkuasaan, walaupun sudah bincang dengan pakar undang-undang, adalah lebih penting untuk menggunakan pendekatan berhemah," katanya ketika menjawab soalan tambahanDatuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, beliau menjawab soalan lisan Salleh Kalbi (BN-Silam) yang bertanyakan mengapa DBP tidak mengawal penggunaan bahasa Inggeris yang dialih ejaan kepada bahasa Melayu kerana dilihat semakin berleluasa penggunaannya sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat.

Menurut Mohd. Puad, istilah bahasa asing hanya diambil selepas istilah tersebut tiada dari tiga sumber utama iaitu bahasa Melayu, dialek dan bahasa serumpun.

"Hanya setelah tidak terdapat istilah daripada tiga sumber itu, barulah diambil istilah dari bahasa asing melalui proses penyesuaian sebutan, bentuk dan ejaannya sesuai dengan sistem bahasa Melayu," katanya.

Jelas beliau, sehingga kini, DBP telah menerbitkan sebanyak 289 judul buku berkenaan istilah merangkumi daftar istilah, glosari istilah dan kamus istilah dalam pelbagai bidang ilmu dan profesional.

Katanya, dari segi kawalan penggunaan bahasa khususnya iklan di tempat awam, DBP menyediakan khidmat penyemakan dan pengesahan bahasa sebelum pihak PBT meluluskan pemaparan iklan di tempat awam. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment