My Add

Thursday 28 June 2012

Kepentingan pelabur asing dilindungi - Presiden Conde

PUTRAJAYA, RABU, 27 Jun, 2012: Presiden Guinea, Profesor Alpha Conde yang menyifatkan negaranya sebelum ini 'sleeping beauty' menawarkan pelbagai tarikan kepada pelabur asing agar kedudukannya setanding dengan negara membangun yang lain.

Beliau berkata, sudah tiba masanya Guinea mengorak langkah pembaharuan selain memperkukuhkan kerjasama dengan pelbagai negara termasuk Malaysia.

Katanya, Guinea kini mengamalkan sistem demokrasi dan dalam proses memperkukuhkan asas demokrasinya sebagai jaminan terbaik untuk pelabur asing.

''Saya juga berharap untuk berkongsi pengalaman dalam usaha membangunkan negara saya telah menjadi 'slepping beauty' untuk tempoh agak lama dan sudah tiba masanya, untuk Guinea menjadi sebuah negara membangun setanding Malaysia,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mesyuarat dua hala selama lebih sejam di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Mesyuarat itu diadakan sempena lawatan rasmi pertama beliau ke Malaysia selama empat hari bermula semalam.

Menurut Conde, perkongsian pengalaman dengan pelbagai negara termasuk Malaysia perlu bagi mengelakkan negara itu terikat dengan syarat-syarat ketat Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam membangunkan negara itu di masa depan.

''Defisit bajet kami telah mencecah 13 peratus dan IMF mengenakan syarat agar ia diturun kepada dua peratus dalam masa setahun.

''Walaupun kami berjaya memenuhi syarat itu tetapi saya berazam untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dan pelaburan dengan negara-negara lain," katanya.

Beliau turut memberi jaminan untuk mewujudkan suasana kondusif dan berdaya saing kepada para pelabur Malaysia yang berminat untuk melabur di negara tersebut.

Katanya, dua memorandum persefahaman (MoU) akan ditandatangani dengan kerajaan Malaysia iaitu membabitkan perlindungan pelaburan dan cukai berganda.

Selain itu jelas beliau, pihaknya juga sedang menyediakan kod baru berkaitan pelaburan asing dan bidang perlombongan di negara itu.

''Kita juga sedar keutamaan syarikat swasta adalah berkaitan soal keselamatan dan sistem keadilan sesebuah negara.

''Untuk itu, kita kini sedang membuat pembaharuan dalam bidang keselamatan dan pentadbiran serta juga menyemak kembali sistem keadilan yang sebelum ini dianggap korup," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment