My Add

Sunday 10 June 2012

Najib lancar projek BRT

PETALING JAYA, SABTU, 09 Jun, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan projek Bus Rapid Transit (BRT) pertama negara yang akan memberi kemudahan pengangkutan kepada 500,000 penduduk di sekitar Bandar Sunway dan Subang.

Projek BRT-Aliran Sunway membabitkan laluan khusus untuk bas sepanjang enam kilometer itu akan dimulakan hujung tahun ini dan dijangka siap pada 2014.

Ia dilaksanakan di bawah inisiatif perkongsian sektor awam dan swasta melibatkan syarikat milik kerajaan, Syarikat Prasarana Negara Berhad. (Prasarana) dan Sunway Bhd. dengan anggaran kos awal sebanyak RM300 juta.

BRT merupakan satu daripada inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pengangkutan Awam Bandar dan ia telah berjaya mengurangkan kesesakan lalu lintas di beberapa buah negara seperti China, Colombia dan Australia.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Najib berkata, projek BRT menandakan bermulanya satu lagi peringkat kemajuan dalam perkembangan pengangkutan awam darat di Lembah Klang.

Jelasnya, bandar-bandar utama sememangnya memerlukan kemudahan pengangkutan awam darat yang cekap dan boleh dipercayai.

"Selepas merdeka, daripada perkhidmatan bas yang kurang teratur, kita melangkah ke era bas mini yang lebih dikenali sebagai BMW (Bas Mini Wilayah). Namun ia telah dihentikan pada 1 Julai 1998 dan diganti dengan perkhidmatan Intrakota yang kemudiannya diambil alih RapidKL pada 2005.

"Kita juga telah memperkenalkan LRT (transit aliran ringan) dan banyak juga skeptikal yang mengatakan LRT tidak akan berjaya. Tetapi kini LRT telah memanfaatkan 450,000 penumpang sehari dengan purata penumpang pada waktu puncak hampir 85,000 orang," katanya pada majlis yang diadakan di Sunway Monash Residence di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha; Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Tan Sri Syed Hamid Albar; Pengerusi Kumpulan Prasarana, Tan Sri Ismail Adam dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah.

Ujar Najib, tindakan kerajaan memperkenalkan LRT adalah untuk memenuhi permintaan terhadap pengangkutan awam yang tinggi dan kini ia semakin sesak pada waktu puncak.

"Kita tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan yang terpaksa dilalui warga Lembah Klang jika tanpa LRT dan monorel," jelasnya.

Oleh itu, katanya, Prasarana kini bertanggungjawab bagi perkhidmatan pengangkutan di tiga laluan iaitu aliran Ampang, aliran Kelana Jaya dan KL Monorel.

''Laluan berkenaan akan diselaraskan sebagai rangkaian dalam bentuk BRT. Di bawah kerjasama swasta dan awam, kerajaan sentiasa menggalakkan inisiatif itu dilaksanakan kerana ia menggabungkan kekuatan kedua-dua sektor bagi menjayakan usaha pembinaan negara.

''Saya percaya dengan kerjasama rapat dua sektor berkenaan, ia akan menjana faedah dan kebaikan bersama kepada syarikat swasta dan kerajaan,'' tambahnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment