My Add

Sunday 10 June 2012

Tak terkilan disifat ‘gatal mulut’

Harussani ajak Nik Aziz minum teh tarik bincang masalah umat Islam

Oleh Hassan Omar 
KUALA LUMPUR, SABTU, 09 JJun, 2012: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria tidak terkilan dengan dakwaan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang menyifatkan beliau sebagai ‘gatal mulut.’

Sebaliknya, Harussani yang juga Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan berhajat menikmati teh tarik bersama Menteri Besar Kelantan itu bukan setakat untuk beramah-mesra, malah membincangkan secara tidak formal bahaya yang menunggu umat Islam jika tiada usaha menyatukan ummah dilakukan dari sekarang.

"“Biarlah Tok Guru hendak kata apa pun. Saya tak ada niat lain, selain ingin melihat umat Islam bersatu padu walaupun kita ada perbezaan fahaman politik.
“Satu hari nanti, saya hendak ajak Tok Guru minum teh tarik untuk sembang-sembang masalah umat Islam sekarang. Tidak mengapa, saya tak terkilan pun dengan kata-kata seumpama itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Harussani berkata, beliau tidak pernah berniat untuk mencampuri hal politik, apatah lagi mencuba mempengaruhi pemimpin PAS untuk bersetuju dengan pandangan beliau sendiri mengenai masalah yang membelenggu umat Islam di negara ini.

“Saya cuma ingin melihat pemimpin politik memelihara agama dan bangsa Melayu. Islam agama yang mulia yang sentiasa mendidik umatnya supaya bersatu padu dan tidak berpecah-belah seperti sekarang. Kalau kita ada perbezaan fahaman politik pun, janganlah kita menggadaikan masa depan agama dan bangsa kita,” katanya.

Kelmarin, Nik Abdul Aziz ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Kota Bharu dilaporkan menyifatkan Harussani sebagai ‘gatal mulut’ kerana mencampuri hal politik sedangkan beliau dianggap tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.

Mursyidul Am PAS itu berkata, PAS sememangnya berhasrat merebut kerusi pada pilihan raya untuk membina kerajaan Islam dan menyifatkan penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah adalah kerana ingin mendapatkan kerusi.

Harussani adalah antara ulama yang mengambil berat masalah perpecahan orang Islam serta sering mengingatkan pemimpin PAS supaya tidak membiarkan perpecahan berlanjutan hingga mengakibatkan masa depan mereka malap, terutama jika bangsa Melayu kehilangan kuasa. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment