My Add

Thursday 28 June 2012

Padang PKNS: Selcat mahu RTPJ2 dibatal

SHAH ALAM, RABU, 27 Jun, 2012: Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2) yang diwartakan pada 13 Januari 2011 oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) negeri Selangor tidak boleh dipinda dan ia perlu dibatalkan dahulu sebelum sebarang pindaan dibuat.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat), Datuk Teng Chang Khim berkata, mengikut perundangan, RTPJ2 yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 11 Ogos 2010 adalah laporan yang berkuat kuasa.

Oleh itu, wartakan dahulu laporan yang diluluskan oleh MMKN kerana kuasa JPBD dan Majlis Bandaran Petaling Jaya tidak boleh mengatasi kerajaan negeri, katanya pada hari pertama pendengaran awam Selcat mengenai permohonan pembangunan tanah padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Kelana Jaya dan RTPJ2 di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebarang pindaan ke atas RTPJ2 itu hendaklah dibuat selepas laporan itu dibatalkan terlebih dahulu.

"Kesilapan JPBD ialah pinda (warta) selepas setuju, dan kesilapan MBPJ pula ialah tidak buat bantahan terhadap warta tetapi cetak sendiri," katanya .

RTPJ2 adalah dokumen yang menimbulkan kontroversi apabila laporan yang dirujuk oleh JPBD negeri mendapati padang awam milik PKNS telah dizonkan sebagai kawasan lapang dan rekreasi, manakala dokumen yang dirujuk oleh MBPJ pula dizonkan sebagai zon komersial.

Sementara para penduduk pula membantah apabila mengetahui padang PKNS di Kelana Jaya itu hendak dibangunkan oleh PKNS kerana ianya merupakan antara kawasan hijau yang tinggal dan pembangunan di kawasan itu dikhuatiri akan menimbulkan kesesakan jalan raya.

Semasa pendengaran itu, Datuk Bandar Petaling Jaya Datuk Mohamad Roslan Sakiman berkata, setelah RTPJ2 diluluskan oleh MMKN, JPBD ada memanggil MBPJ untuk hadir mesyuarat bagi meminda laporan itu pada 21 dan 22 Oktober 2010 dan 11 Januari 2011.

Roslan berkata, beliau bagaimana tidak menghadiri mesyuarat itu tetapi diwakili oleh Penolong Pengarah Kanan Jabatan Perancang Bandar MBPJ Fairos Abdul Hamid.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah JPBD Negeri Azman Talib pula berkata, pihaknya ada melakukan pindaan terhadap laporan itu dalam bentuk perkataan sahaja, manakala pindaan soal guna tanah dilakukan oleh MBPJ sebagaimana dipersetujui kedua-dua pihak.

Fairos pula berkata, selepas diwartakan terdapat 210 perbezaan dalam RTPJ2 berbanding dengan RTPJ2 awal yang diluluskan oleh MMKN dan terdapat 33 lot zoning bertukar dengan (kelulusan) MMKN asal."

Ditanya sama ada terdapat bantahan terhadap draf JPBD yang meletakkan padang PKNS itu sebagai zon tanah lapang dalam RTPJ, beliau berkata tiada bantahan.

Bagaimanapun, Chang Khim berkata, jika tiada bantahan mengapa MBPJ membuat pindaan terhadap zon padang itu dan Fairos menjawab Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid

Ibrahim telah meminta soal pegangan tanah dilihat dalam proses penentuan zon guna tanah.
Ketika ditanya sama ada orang awam ada dimaklumkan melalui notis 30 hari bahawa zon kegunaan tanah padang PKNS itu telah ditukar, Fairos berkata tiada.

Sementara itu, Ahli MBPJ Derek Fernandez berkata, selaku Ahli Majlis beliau tidak diberitahu oleh MBPJ ataupun JPBD mengenai mesyuarat yang dibuat bagi meminda RTPJ2.

Pendengaran bersambung esok. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment