My Add

Friday 22 June 2012

Pandu Puteri perlu keluar kepompong - Rosmah

ROSMAH Mansor membeli tudung saji ketika melawat gerai pameran selepas perasmian Majlis Turun Padang Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Perlis, di Kangar, semalam. - UTUSAN/FAIZAL ABU HASSAN

KANGAR, KHAMIS, 21 Jun, 2012: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyarankan Persatuan Pandu Puteri Malaysia supaya keluar dari kepompong sendiri dan membuat anjakan paradigma jika mahu menjadi sebuah persatuan yang lebih proaktif.

Sehubungan itu Rosmah selaku Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia mahukan persatuan ini bertindak pantas, merancang serta melaksanakan aktiviti yang selaras dengan kehendak semasa.

Beliau berkata, ia juga memerlukan perubahan sikap dan mentaliti.

"Jangan lagi hanya mengikut sahaja, sebaliknya berubah kepada mencipta arus. Cermin diri kita supaya dapat memiliki satu standard kerja yang progresif, bertambah baik, sistematik dan efisien," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Turun Padang Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Perlis di Dataran Merdeka, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Cawangan Perlis, Datuk Tengku Shireen Tengku Suleiman.

Tegas Rosmah, Pandu Puteri perlu ada di sisi masyarakat seperti ketika berlaku kebakaran, ahli persatuan ada untuk membantu, begitu juga jika berlaku banjir.

"Lama-lama barulah masyarakat akan sedar kehadiran kita (Pandu Puteri) di sisi mereka," katanya.

Beliau juga memuji Pandu Puteri Perlis yang memainkan peranan selaku pemudah cara, penghubung dan penggerak kepada usaha membantu wanita desa mendapatkan kemahiran asas di dalam keusahawanan.

"Bagi di bandar atau di desa, Pandu Puteri harus terus melestarikan budaya sukarelawan dalam kalangan ahli-ahlinya supaya bersikap prihatin, peka, disiplin serta penyayang," katanya.

Selain itu, Rosmah juga mahukan setiap gadis di seluruh negara mempunyai personaliti yang membanggakan, berhemah, berbudi pekerti, tinggi pengajian dan berjaya dalam apa juga bidang yang diceburi.

"Apa yang pasti kunci kepada kecemerlangan ialah disiplin dan jati diri setiap gadis itu sendiri, sekali gus mendorong kepada kecemerlangan diri, keluarga, masyarakat dan negara," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment