My Add

Saturday 2 June 2012

Panel khas siasat video perhimpunan

KUALA LUMPUR, SABTU, 02 Jun, 2012: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan panel khas menyiasat kandungan kompilasi rakaman video kejadian ketika perhimpunan 28 April lalu yang dijangka dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, polis akan menyerahkan video itu kepada panel khas berkenaan dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk siasatan lanjut.

Beliau memberi jaminan bahawa panel khas itu akan menyiasat insiden berkenaan secara adil dan menyeluruh.

“Kami ada kerjasama dengan KDN. Video itu akan disiasat dalam masa yang terdekat,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan Program Dekad Kecemerlangan Anak Polis (Dakap) di Pulapol Bukit Sentosa, Rawang, semalam.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, video itu akan diedarkan kepada media dan dimuat naik ke dalam laman web kementerian itu.

Sementara itu, Ismail berkata program ‘Dakap Siri Satu’, yang bermula semalam membabitkan 130 orang anak anggota polis dari PDRM Bukit Aman, Kontinjen Kuala Lumpur, Kontinjen Negeri Sembilan dan Kontinjen Selangor.

“Konteks ‘mendakap’ juga suatu idea kreatif dalam mendidik anak untuk membesar dan menghadapi kehidupan yang jauh berbeza dengan generasi masa kini,” katanya.

Program itu dianjurkan dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi dana disalurkan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment