My Add

Monday 4 June 2012

Parti politik perlu isytihar bantuan asing

KUALA LUMPUR, AHAD, 03 Jun, 2012: Parti politik perlu mengisytihar semua bentuk bantuan asing yang diterima bagi memastikan tiada agenda tersembunyi di sebalik bantuan tersebut.

Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan berkata, usaha itu juga bagi memastikan negara bebas daripada sebarang ancaman pihak luar yang cuba menggugat kestabilan dan keamanan negara.

Kata beliau, antara bantuan asing itu adalah dana yang kononnya mahu menyemarakkan amalan demokrasi dan hak asasi manusia di negara ini.

"Namun, pihak yang menerima dana itu tidak mengetahui niat sebenar di sebalik bantuan tersebut.

"Justeru, kerajaan perlu mengambil langkah tegas dengan meneliti latar belakang pihak asing yang menyalurkannya dan menyekat mana-mana bantuan yang dilihat mencurigakan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, bahawa kerajaan akan bertindak tegas dalam menepis sebarang ancaman terutamanya yang menggugat ketenteraman rakyat negara ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hubungan Luar, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Jayum Jawan berkata, pemantauan khusus terhadap sebarang bantuan asing perlu bagi menjamin keselamatan rakyat di negara ini.

Tambahnya, antara aspek yang perlu diambil kira ialah tujuan pihak asing menyalurkan bantuan kerana ia mungkin tidak selari dengan agenda yang diperjuangkan di negara ini.

"Pada masa sama, parti-parti politik juga perlu menyedari sebarang perubahan yang ingin dilakukan di negara ini seharusnya mengikut kehendak rakyat, bukannya dipandu oleh kuasa asing," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment