My Add

Friday, 1 June 2012

Pastikan Malaysia kekal aman - PM

*NAJIB Tun Razak dan Rosmah Mansor bersama Ng Yen Yen (lima dari kiri) dan James Dawos Mamit (kiri) melihat gimik pelancaran Malaysia International Tourism Exchange 2012 di Serdang, semalam. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, setiap lapisan masyarakat bertanggungjawab membantu kerajaan memastikan Malaysia kekal aman dan terus menjadi destinasi pilihan pelancong dalam dan luar negara.

Perdana Menteri berkata, kesejahteraan negara bukan sahaja mampu menjana sektor pelancongan yang menyediakan banyak peluang pekerjaan tetapi turut menarik dan merangsang pelaburan dalam negara.

Justeru, katanya, pihak berkepentingan seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pekerja awam dan swasta serta individu biasa harus mempromosikan keamanan negara dalam menarik kehadiran pelancong, seterusnya menjana ekonomi negara.

"Kita perlu memastikan Malaysia aman dan bebas daripada segala keganasan, kita perlu mengekalkan keamanan serta kestabilan, menghormati undang-undang dan memastikan komitmen kita terhadap komuniti antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian 'Malaysia International Tourism Exchange (MITE) 2012' di Serdang dekat sini hari ini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dan timbalannya, Datuk Dr. James Dawos Mamit.

Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berharap MITE 2012 yang julung kali diadakan tahun ini muncul sebagai pameran pelancongan terbaik di rantau ini, jika tidak di dunia.

Kata beliau, pameran yang mengumpulkan para pengusaha serta pembekal perkhidmatan dari serata dunia itu akan menjadi platform buat para pelabur luar mempertimbangkan negara ini sebagai pusat operasi mereka.

"Kita boleh melakukan pelbagai strategi promosi dan pemasaran yang menakjubkan tetapi para pelancong perniagaan ataupun pelancong santai harus mendapatkan pengalaman mengagumkan di Malaysia.

"Tiada apa yang lebih buruk selain daripada seseorang pelancong itu pulang ke negara mereka dan merungut (mengenai Malaysia)," katanya.

Sementara itu, MITE 2012 yang dianjurkan selama empat hari sehingga Ahad ini menyaksikan penyertaan lebih 600 pempamer dari 33 negara dan dijangka menarik kira-kira 600,000 pengunjung. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment