My Add

Friday 1 June 2012

Siasat kes milik harta Azmin

*HADENAN Abdul Jalil menjawab pertanyaan wartawan pada sidang akhbar sambil diperhatikan Prof. Dr. Syed Noh Syed Ahmad dan Mustafar Ali (kanan) di Akademik SPRM Malaysia, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
KUALA LUMPUR 31 Mei - Panel Penilaian Operasi hari ini mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneruskan siasatan kes pemilikan harta Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berikutan maklumat tambahan yang didedahkan dalam media baru-baru ini selain pendedahan tambahan kes tersebut pada tahun 2009.

SPRM juga perlu menyiasat semua pihak yang terlibat dalam kes itu termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika kes itu dibuka pada 1995 memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Pengerusi panel penilaian itu, Tan Sri Dr. Hadenan Abdul Jalil berkata, kes membabitkan Azmin yang ketika itu memegang jawatan Setiausaha Sulit kepada Anwar telah dibuka semula pada 2009.

"Cabaran utama yang dihadapi SPRM adalah mendapatkan bahan bukti dan maklumat lengkap kerana kes itu merupakan kes yang lama.

"Sebarang pertuduhan perlu ada bukti yang sahih serta mesti adil untuk semua pihak. Sehubungan itu, pihak panel menasihatkan SPRM berusaha untuk dapatkan bahan bukti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Panel Penilaian Operasi iaitu sebuah badan bebas yang memantau siasatan SPRM di Akademi SPRM di Jalan Duta, di sini hari ini.

Dalam mesyuarat hari ini, panel itu membincangkan siasatan tiga kes berprofil tinggi termasuk yang membabitkan Azmin, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Selangor, Mat Shuhaimi Shafiei.

Dalam pada itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, siasatan ketika itu memang menunjukkan Azmin dan isterinya, Shamsidar Taharin memiliki harta yang banyak namun kes itu dibuka pada tahun 1995 mengikut akta lama iaitu Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 1961 yang tidak memperuntukkan kesalahan rasuah bagi seseorang yang memiliki harta banyak.

"Jika kesalahan itu disiasat selepas tahun 1997, terdapat peruntukan yang boleh mendakwa seseorang memiliki harta tanpa penjelasan munasabah.

"Dari segi perundangan, undang-undang baru akan dipakai mengikut keadaan sekarang manakala akta lama dijadikan sebagai rujukan penyiasatan. SPRM akan memanggil mana-mana pihak termasuk pegawai BPR (Badan Pencegah Rasuah) serta Anwar dan Azmin bagi membantu siasatan," jelasnya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya berhubung dokumen sulit yang didedahkan Raja Petra Kamaruddin mengenai arahan Anwar supaya siasatan kes itu ditutup pada 1995. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment