My Add

Wednesday 27 June 2012

Pejabat Kesihatan nafi malaria merebak di Long Terawan

MIRI, RABU, 27 Jun, 2012: Dakwaan kes malaria semakin merebak di Long Terawan, Baram oleh sebuah akhbar pada pertengahan bulan ini adalah tidak benar. 

Pegawai Kesihatan Bahagian Miri, Dr Faizul Mansoor, berkata satu pasukan penyiasat dari Pejabat Kesihatan Miri telah pergi ke Long Terawan mulai 18 Jun hingga 22 Jun dan telah berjumpa dengan penduduk di Long Terawan termasuk Presiden Persatuan Berawan Charles Baya.

"Siasatan mendapati tiada kes malaria dari Long Terawan yang telah dimasukkan ke Hospital Miri seperti dinyatakan di dalam akhbar tersebut, malah tiada kes malaria dari Long Terawan telah dimasukkan Hospital Miri atau Hospital Marudi tahun ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

"Adalah diharapkan pihak media bersikap profesional dengan memastikan maklumat adalah tepat dan dari sumber yang boleh dipercayai kerana maklumat penyakit berjangkit yang disiarkan tanpa pengesahan akan menyebabkan kekeliruan dan boleh menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat," katanya lagi. 

Pada 15 Jun lalu, Setiausaha Persatuan Berawan Willie Kajan dipetik berkata kes malaria merebak di Long Terawan dengan menyatakan 10 orang telah dijangkiti kes tersebut dan enam orang telah dimasukkan ke Hospital Miri dalam tempoh seminggu sebelumnya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment