My Add

Wednesday 27 June 2012

Sindiket tujuh orang mahir lerai mesin RM5 juta


RAKAMAN CCTV menunjukkan gambar suspek rompakan mesin endoskopi di Hospital Tung Shin, pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam. - Foto BERNAMA


Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
KUALA LUMPUR, SELASA, 26 Jun, 2012: Polis mengesyaki rompakan peralatan endoskopi bernilai lebih RM5 juta dari Hospital Columbia Asia, Hospital Tung Shin dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) baru-baru ini didalangi sindiket sama dengan bantuan orang dalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata siasatan pihaknya mendapati kumpulan itu dianggotai tujuh individu yang mahir dalam meleraikan mesin berkenaan.
Katanya, modus operandi digunakan kumpulan itu ialah dengan menyamar sebagai pesakit untuk mengenal pasti lokasi peralatan endoskopi sebelum mencurinya dua hari kemudian.

“Kumpulan itu dikatakan melerai dan mencuri peralatan itu sebelum melarikan diri dengan menaiki van dan kereta PERODUA Myvi.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di hospital itu, kami percaya sindiket berkenaan turut dianggotai warga asing dari Amerika Latin atau Asia Barat,” katanya.


*KHAIRI Ahrasa menunjukkan gambar suspek (kiri) serta gambar aksesori endoskopi (kanan) yang dicuri di Hospital Tung Sin pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam.

Pada 5 Jun lalu, satu mesin endoskopi bernilai RM100,000 dilaporkan dicuri di Hospital Columbia Asia, Kajang.

Pada 12 Jun, 15 mesin endoskopi dan dua set mesin pemprosesan bernilai RM600,000 dilaporkan hilang di Hospital Tun Shin. Kejadian itu disedari kakitangan hospital jam 7 pagi sebaik melihat pintu bilik yang menempatkan peralatan itu pecah. 

Kejadian sama turut dilaporkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sembilan hari kemudian apabila tiga mesin pemprosesan dan 22 peralatan endoskopi bernilai RM4 juta dilaporkan hilang.

Khairi berkata, sehingga kini pihaknya sudah memanggil enam kakitangan daripada dua hospital berkenaan untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment