My Add

Friday 22 June 2012

Pemilik restoran warga emas maut halang cubaan rompak

KLANG, JUMAAT, 22 Jun, 201: Seorang lelaki warga emas maut ditetak ketika cuba menghalang dua lelaki daripada merompak restorannya di Lorong Tapah off Jalan Goh Hock Huat, di sini, pagi tadi. 

Tan Ah Kang, 62, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan tangan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata kejadian berlaku jam 6.45 pagi ketika Tan baru saja membuka restorannya sambil dibantu seorang pekerja wanita warga Indonesia.

Seorang lelaki berbadan besar meluru masuk ke dalam restoran dan menuju ke kaunter wang dengan cuba membuka laci namun gagal berkunci, katanya menerusi sistem pesanan ringkas. 

"Suspek menyuruh mangsa membuka laci itu tetapi mangsa enggan dan cuba menghalang suspek menyebabkan berlaku pergelutan. 

"Kemudian, masuk seorang lagi lelaki bersaiz kurus dan berkemeja biru lalu menyerang mangsa dengan menetak kepala dan tangannya menggunakan parang menyebabkan mangsa rebah di belakang restoran," katanya. 

Mohamad berkata, kedua-dua suspek kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta tanpa sempat mengambil wang dari restoran berkenaan.

Beliau berkata, pekerja wanita itu tidak dicederakan dan pihaknya akan meneliti rakaman kamera litar tertutup yang dipasang di restoran tersebut dalam usaha memburu kedua-dua suspek. 

Mayat Tan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk dibedah siasat. 

Mohamad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment