My Add

Saturday, 2 June 2012

Peneroka teruja tunggu borang biru FGV

*SEBAHAGIAN daripada peneroka yang hadir di pejabat pengurusan Felda Bukit Goh, Kuantan, bagi mendapatkan borang biru FGV menjamu selera sambil membaca Utusan Malaysia di kedai makan berhampiran, semalam.

KUANTAN, JUMAAT, 01 Jun, 2012: Peneroka Felda Bukit Goh di sini teruja untuk menandatangani borang biru bagi membolehkan mereka mendapatkan sebahagian daripada 182,408,000 saham selepas penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) di Bursa Malaysia pada 28 Jun ini.

Rata-rata mereka menyatakan kegembiraan selepas mendengar pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam walaupun borang biru yang ditunggu masih belum tiba di tanah rancangan masing-masing.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Bukit Goh, Mat Zahari Deraman, selepas pengumuman tersebut, sebahagian daripada 495 peneroka yang menandatangani persetujuan mendapatkan saham sebelum ini telah hadir di pejabat pengurusan Felda Bukit Goh bagi mendapatkan borang biru.

"Seawal 8 pagi telah ada yang datang ke pejabat, namun saya hanya dimaklumkan borang berkenaan akan diedarkan esok.

"Apa pun semua peneroka teruja dan gembira kerana berpeluang memperoleh saham yang sebelum ini tidak pernah diimpikan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, bagi Nazar Mailam, 72, dia tidak sabar untuk mendapatkan borang biru itu dan masih menanti berapa lot yang akan diberikan bagi setiap peneroka.

"Saya cukup gembira kerana Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa mengotakan apa yang dikata.

"Selepas durian runtuh, kini saham pula. Saya akan beli saham seperti mana yang ditawarkan pada harga runcit RM4.55 sesaham dan masih menunggu bagaimana pula pembahagiannya kelak," jelasnya yang menyertai Felda ketika berusia 30 tahun.

Bagi Sheikh Ahmad Sheikh Embong, 73, pengorbanan dan kepayahan selama ini berbayar dengan pengumuman pemberian saham tersebut.

"Apa lagi yang mampu saya ungkapkan melainkan ucapan terima kasih kepada kerajaan, Allahyarham Tun Abdul Razak dan Perdana Menteri yang menyambung legasi Felda dalam membela nasib para peneroka.

"Kepada para pembangkang, hentikan tohmahan kepada kerajaan mengenai Felda kerana selama ini Felda sentiasa bersama kami di kala susah dan senang," jelasnya.

Sementara itu, Abdullah Yassin, 68, bersyukur kerana kerajaan sentiasa mengutamakan golongan peneroka terutama dalam pembahagian saham.

"Ini kerana lebih 70 peratus saham terbitan penawaran runcit FGV akan diberikan kepada peneroka.

"Terima kasih kerajaan dan kepimpinannya kerana sentiasa menghargai pengorbanan kami selama ini," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment