My Add

Tuesday 5 June 2012

Persefahaman, perpaduan jadi keutamaan

*NAJIB diperkenalkan dengan qari dari Kedah, Mohamad Fahrulrazi Kamaruddin pada majlis perasmian Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-55 di Persada, Johor Bahru, malam tadi. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Oleh LUQMAN HAZIQ dan AZAN FITRI
JOHOR BAHRU, ISNIN, 04 Jun, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan sentiasa memberi penekanan terhadap persefahaman serta perpaduan antara kaum dan agama demi kepentingan bersama.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak pernah menutup pintu kerjasama dan rundingan dengan sesiapa sahaja sama ada individu, parti atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mencapai perpaduan yang lebih utuh tanpa mengenakan apa-apa syarat kerana kepentingan umat dan rakyat sentiasa diutamakan berbanding kelompok tertentu.

"Apabila kita menutup pintu-pintu persefahaman dan rundingan demi kepentingan ummah, akhirnya kita akan menjadi bagai nasib Pak Pandir, menang sorak kampung tergadai.

"Sudah pasti yang akan tergadai ini bukan sekadar kampung halaman dan tanah air, tetapi agama jua akhirnya menjadi taruhan," katanya semasa merasmikan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini malam ini.

Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pada malam ini, qari dari Selangor, Abdul Khair Jalil dan qariah dari Perlis, Sarina Che Yahaya memperdengarkan bacaan masing-masing. Tilawah al-Quran kali ini berlangsung mulai hari ini hingga Jumaat ini.

Najib berkata, tema Persefahaman Asas Perpaduan Ummah adalah bertepatan dengan firman Allah di dalam surah al-Hujrat ayat 13 yang memberi penekanan terhadap konsep ta'aruf yang sentiasa menuntut umat Islam tanpa mengira bangsa dan suku keturunan supaya saling menjalinkan persefahaman yang baik di samping mengukuhkan ukhuwah Islamiah.

"Ta'aruf dalam konteks interaksi dengan golongan yang bukan Islam bermaksud mewujudkan situasi harmonis dan damai dengan mereka," katanya.

Beliau berkata, sesungguhnya Perlembagaan negara memaktubkan bahawa Islam bukan hanya sekadar agama rasmi bahkan Islam dinobatkan agama Persekutuan bagi Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa memastikan bahawa agenda memartabatkan Islam terus diperjuangkan sejak negara dianugerahkan nikmat kemerdekaan.

"Pahatan sejarah ini terus kekal tanpa dapat dimungkiri, bagaimana Malaysia terus berusaha meninggikan syiar agama Islam sebagai satu agenda terpenting negara. Usaha murni ini telah diiktiraf baik di peringkat ummah mahupun antarabangsa," katanya.

Perdana Menteri turut merakamkan jutaan terima kasih atas budi para ulama, imam, guru takmir, al-Quran dan Kelas Asas Fardu Ain (KAFA), pegawai serta jawatankuasa masjid serta ustaz dan ustazah yang telah menjadi 'baja' di akar umbi masyarakat dalam membangunkan ummah sejak sekian lama.

Dalam pada itu beliau hairan terhadap tindakan segelintir rakyat negara ini yang sengaja menjadikan Tanah Suci Mekah sebagai tempat meluahkan emosi mereka di bawah telunjuk parti tertentu dengan kononnya membawa mesej berhimpun secara aman dan pada masa sama memakai baju kuning berlatar belakangkan kain pemidang Bersih 3.0.

Beliau berkata, tindakan itu secara tidak langsung mencemar kesucian Tanah Suci dan imej cemerlang Malaysia yang selama ini dipuji dan dicontohi sebagai jemaah haji terbaik dunia.

"Cuba kita bayangkan jika semua negara yang mengalami sebarang masalah dalaman negara melepaskan perasaan mereka dengan mengadakan perhimpunan dan bantahan di Tanah Suci, maka sudah pasti kesucian Tanah Suci akan ternoda dan suasana kudus melakukan ibadah akan berantakan.

"Perkara ini menjadi isu yang serius oleh pihak Arab Saudi sebagai penjaga Tanah Suci dan sebuah negara berdaulat. Walaupun ia membabitkan beberapa orang sahaja tetapi mereka telah memberikan masalah kepada hubungan baik antara negara kita dengan Arab Saudi sedangkan sejak sekian lama Malaysia dikenali sebagai Oasis Keamanan Dunia," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment