My Add

Tuesday 5 June 2012

Tun Mahathir tidak gentar ugutan Kit Siang

*DR. Mahathir Mohamad dan Norman Abdul Halim (kiri) memegang plak KRU Academy sebagai tanda perasmian akademi itu di Cyberjaya, semalam.

CYBERJAYA, ISNIN, 04 Jun, 2012: Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak gentar jika pembangkang mahu mendedahkan dokumen-dokumen kewangan kerajaan sepanjang 22 tahun pemerintahannya sebagai Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Penasihat DAP, Lim Kit Siang boleh melakukan apa sahaja yang beliau suka dan membuka mana-mana dokumen yang didakwa berlakunya skandal kewangan.

"Buatlah apa yang dia mahu, kalau nak buka dokumen sekarang pun boleh, dulu masa Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) menjadi Perdana Menteri pun, Kit Siang sudah bawa saya ke mahkamah melibatkan beberapa kes yang mereka tidak puas hati.

"Saya tidak takut apa-apa pun, jika mereka nak dedah sekarang pun boleh, tak perlu tunggu sehingga pembangkang memerintah," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan KRU Academy di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Kit Siang bahawa bekas Perdana Menteri keempat itu khuatir jika pembangkang mengambil alih Putrajaya kerana skandal kewangan sepanjang 22 tahun pemerintahannya bakal didedahkan.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu dalam laporan sebuah portal berita hari ini berkata, dakwaan tersebut dibuat ekoran tindakan Dr. Mahathir yang akhir-akhir ini semakin agresif mengeluarkan kenyataan keras mengkritik pembangkang.

Sementara itu, Dr. Mahathir mencadangkan kepada kerajaan supaya mengubah sistem pembelajaran di semua institusi pengajian tinggi (IPT) agar lebih komprehensif dan mampu mengeluarkan tenaga kerja berkemahiran.

"Apa salahnya jika kita ubah untuk mendapatkan tenaga kerja yang lebih berkemahiran, kita perlu memperbanyakkan praktikal daripada teori, semua ini untuk mereka memperoleh pendedahan awal dalam kursus masing-masing.

"Sebagai contoh di Jerman, mereka lebih mengutamakan praktikal daripada teori dan mereka berjaya mengeluarkan tenaga kerja yang lebih berkemahiran, jadi tidak salah jika kita mengadaptasinya di negara ini," katanya.

Terdahulu, Presiden Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU, Norman Abdul Halim berkata, pihaknya yakin KRU Akademy mampu membentuk pelajar berkualiti mengikut acuan dan kehendak semasa industri berkenaan.

"Sebagai permulaan, KRU Academy akan menumpukan kepada tiga program kemahiran jangka pendek iaitu Kemahiran Kesan Khas Visual, Animasi 3D dan Animasi 2D melibatkan 30 hingga 70 pelatih.

"Program ini dijangka bukan sekadar dapat menampung keperluan industri kreatif dalam negara malah sehingga di peringkat Asia dan global," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment