My Add

Friday, 1 June 2012

PM rasmi Tilawah al-Quran kebangsaan di Johor Isnin ini

JOHOR BAHRU, JUMAAT, 01 Jun, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan merasmikan majlis Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan kali ke-54 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini pada Isnin ini. 

Sejumlah 27 qari dan qariah dari semua negeri, kecuali Kelantan yang tidak menghantar wakil qariah, akan memperdengarkan bacaan masing-masing pada majlis bertemakan 'Persefahaman Asas Perpaduan Ummah' itu yang berlangsung selama lima hari.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapa berkata, pemilihan tema itu bertepatan dengan usaha kerajaan yang mahukan rakyat di negara ini bersatu padu, bekerjasama, saling memahami dan menerima antara satu sama lain atas dasar akidah supaya Malaysia mampu menjadi negara maju menjelang 2020.

Beliau berkata, dalam situasi masyarakat yang semakin alpa dengan tanggungjawab yang diamanahkan, menjadi kewajipan sesama muslim untuk saling mengingati dan mempererat lagi hubungan agar setiap ancaman dapat diatasi bersama. 

"Jaringan yang mantap juga akan menghasilkan semangat persaudaraan yang unggul seterusnya memperkasakan ikatan perpaduan ummah yang disegani di mata dunia," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Othman berkata, persefahaman juga akan mewujudkan perpaduan ummah, mengukuhkan ikatan dalam kehidupan dan menjadikan Islam teguh di mata dunia. 

Beliau berkata, penganjuran majlis secara berkala itu juga menunjukkan komitmen kerajaan dalam menerapkan budaya minat al-Quran dan memahami intipatinya serta mengaplikasi tuntutan dan meninggalkan larangan Yang Maha Esa. 

Majlis perasmian penutupan dan penyampaian hadiah dijadual disempurnakan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 8 Jun. Johan qari dan qariah masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM15,000, pakej mengerjakan ibadah haji, cenderahati serta sijil penyertaan selain mewakili negara ke majlis tilawah al-Quran peringkat antarabangsa yang dijadual Julai nanti. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment