My Add

Tuesday 12 June 2012

Polis temui ecstasy, syabu RM10 juta di kilang terbakar

JOHOR BAHRU, SELASA, 12 Jun, 2012:: Polis menemui sejumlah dadah yang dipercayai pil ecstasy dan syabu bernilai RM10 juta di sebuah kilang yang dijadikan makmal memproses dadah di Kawasan Perindustrian Baru Pekan Nanas, dekat Pontian selepas kilang berkenaan mengalami kebakaran, petang semalam. 

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata kebakaran di makmal yang berselindung di sebalik kilang makanan sejuk beku itu berlaku kira-kira jam 1.30 petang sebelum polis dimaklumkan mengenainya pada 2.30 petang.

"Kebakaran berkenaan berlaku di tingkat bawah kilang itu manakala kesemua dadah berada di tingkat atas. Selain dadah, pasukan forensik polis turut menemui beberapa peralatan memproses dadah di premis berkenaan," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata, polis sudah mengenal pasti individu yang terbabit, bagaimanapun siasatan lanjut mengenai mereka sedang dilakukan. 

Beliau berkata, siasatan terperinci mengenai kes yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 itu, sedang dilakukan. 

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Pontian, Mohd Azrai Yahya ketika dihubungi berkata dua jentera dengan membabitkan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pontian serta Pekan Nanas dikejarkan ke tempat itu sejurus dimaklumkan mengenai kebakaran berkenaan. 

Beliau berkata, api sedang marak ketika bomba tiba di kilang berkenaan dan kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 3.08 petang. 
"Kebakaran dipercayai berlaku di bahagian ruang pengeluaran kilang itu tetapi punca kebakaran sebenar masih disiasat," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment