My Add

Tuesday, 12 June 2012

Perbicaraan kes bunuh wanita Perancis ditangguh esok

KUANTAN, SELASA, 12 Jun, 2012: Perbicaraan kes Asni Omar, 37, yang dituduh membunuh wanita Perancis, Stephanie Foray, 30, di Pulau Tioman tahun lalu yang masuk hari ke-10 hari ini ditangguhkan esok. 

Hakim Datuk Mariana Yahya memutuskan perkara itu bagi membolehkan pihak pembelaan mengecam beberapa barang bukti yang ingin dikemukakan kepada mahkamah oleh pihak pendakwaan.

Beliau juga memutuskan perkara itu atas faktor untuk menjimatkan masa dan mahu kedua-dua pihak mengenal pasti kesemua barang kes yang ingin dikemukakan itu tanpa perlu ada bantahan lagi selepas ini.

Terdahulu, pihak pembelaan yang diketuai Ibrahim Kamaruddin membantah penandaan bahan bukti iaitu J9, J11, J12 dan J14 kerana pihak pendakwaan yang diketuai Salim Soib@Hamid tidak mengemukakan barang kes itu kepada pihak mereka terlebih dulu. 

Barang kes itu sepatutnya dikemukakan kepada saksi pendakwaan ketiga, ahli kimia, Nor Aidora Saedon hari ini untuk dicamkan. 

Bagaimanapun, pihak pembelaan membantah kerana mereka merasakan penting untuk meneliti terlebih dulu barang tersebut yang terdiri daripada pakaian si mati, secebis kain pembalut luka, sarung bantal dan baju dengan pengikat pinggang sebelum pihak pendakwaan menandakan barang-barang tersebut sebagai eksibit. 

Mereka membantah tindakan pihak pendakwaan itu mengikut Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah. 

Asni, seorang peniaga kecil-kecilan dari Pulau Tioman dituduh membunuh Foray, di rumah tidak bernombor di Kampung Tekek, Pulau Tioman, Rompin, antara 8 malam, 10 Mei dan 12 tengah hari, 12 Mei tahun lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment