My Add

Saturday 9 June 2012

Purata gaji swasta meningkat



*MUHYIDDIN Yassin mencuba casis lori buatan Malaysia ditemani Ismail Sabri Yaakob dan salah seorang pempamer, Frank Turrisi (kanan) selepas pelancaran Ekspo Beli Barangan Malaysia 2012 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. 

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 08 Jun, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hasil kajian Bank Negara Malaysia mendapati purata gaji bagi sektor swasta mencatatkan peningkatan sebanyak empat peratus pada tahun lalu.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, hasil kajian itu bermakna pendapatan di kawasan luar bandar turut meningkat.

Jelas beliau, peningkatan kepada pendapatan boleh guna isi rumah itu jika digunakan untuk membeli produk tempatan akan memberi kesan berganda kepada aktiviti ekonomi dalam negara secara positif.

"Ia sekali gus mampu membina daya tahan ekonomi terhadap sebarang krisis kewangan. Pertumbuhan mapan ekonomi yang dinikmati sejak merdeka menjadi bukti kecekapan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menguruskan ekonomi negara sejak sekian lama.

"Hasilnya, Malaysia kini berada di tangga ke-13 dalam senarai kerajaan paling efisien di dunia menurut laporan International Institute for Management Development (IMD) 2012 yang berpusat di Switzerland yang dikeluarkan baru-baru ini," katanya semasa berucap merasmikan Ekspo Beli Barangan Malaysia 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Muhyiddin, dalam laporan itu juga, kedudukan Malaysia melonjak dalam carta negara-negara paling kompetitif di dunia iaitu meningkat dua anak tangga dari tempat ke-16 kepada ke-14, tahun lalu.

Katanya, ia jelas menunjukkan kerajaan amat bertanggungjawab dalam memelihara ekonomi negara dan tidak sewenangnya membuat sesuatu keputusan yang boleh menyebabkan negara tergadai.

"Kerajaan akan terus komited dan bertanggungjawab memastikan ekonomi negara terus berkembang setiap tahun serta memiliki tahap ketahanan yang tinggi untuk menghadapi sebarang krisis," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau mengingatkan syarikat pengeluar produk tempatan supaya tidak bergantung kepada pasaran domestik semata-mata walaupun permintaan domestik pada tahun lalu berkembang pada kadar 8.2 peratus iaitu peningkatan 1.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, Laporan Pandangan Ekonomi Asia Tenggara oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) menunjukkan pasaran di negara-negara ASEAN akan berkembang pada kadar 5.6 peratus hingga 5.9 peratus sehingga 2016.

"Dalam laporan sama pertumbuhan di enam negara ASEAN iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam serta China dan India berkembang pada kadar 8.2 peratus pada tahun lalu dan ia dijangka terus rancak pada tahun ini berdasarkan permintaan domestik yang tinggi.

"Justeru saya menyeru syarikat pengeluar berkenaan untuk mengambil peluang itu dan mengembangkan pemasaran produk ke pasaran serantau dan global," katanya.

Beliau seterusnya menggesa rakyat supaya mempunyai semangat patriotisme iaitu setia, bangga serta cintakan produk keluaran tempatan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment