*ORANG ramai menyerbu gerai KR1M yang menawarkan pelbagai produk berkualiti pada harga rendah.Orang ramai tak lepas peluang beli barang berkualiti, murah
Oleh Hassan Omar
dan Faridzwan Abdul Ghafar
KULIM, JUMAAT, 08 Jun, 2012: Pelbagai produk dijual pada harga rendah di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) sempena Jelajah Janji Ditepati (JJD), di sini, laris bagai pisang goreng panas, hari ini.
Pelanggan, Zarina Jamil, 39, berkata beliau teruja apabila mendapati keseluruhan barangan makanan dan minuman itu bukan setakat dijual pada harga rendah, malah berkualiti tinggi berikutan dibawa terus dari kilang.
Ibu tiga anak itu berkata, peluang mengunjungi KR1M itu dimanfaatkannya untuk mendapatkan beberapa bahan minuman yang jauh lebih murah berbanding harga di kedai runcit atau pasar raya.
“Ada sejenis minuman, saya terpaksa berbelanja lebih tinggi kalau saya beli di kedai lain, tetapi di KR1M, saya beli pada harga lebih rendah.
“Begitu juga dengan beberapa biskut dan susu. Di sini (KR1M) lebih murah. Saya berharap kerajaan dapat menyediakan KR1M di pekan Padang Serai kerana setakat ini, belum ada kedai seumpama itu di pekan itu,” katanya.
Beliau yang tinggal di Taman Mahsuri, Padang Serai, dekat sini berkata, beliau yakin KR1M mampu meringankan beban perbelanjaan harian keluarganya yang bergantung kepada pendapatan suaminya yang sekadar bertugas sebagai pemandu lori.
Tarmizi Ismail, 36, pula berkata KR1M menyediakan peluang untuknya mengurus kewangan keluarga secara lebih cekap berikutan mampu membeli lebih banyak barangan pada harga lebih rendah.
“Gaji saya sebagai kakitangan Majlis Perbandaran Kulim tidak membolehkan saya berbelanja mewah. Bagaimanapun, dengan adanya KR1M, saya boleh mendapatkan lebih banyak barangan harian, terutama bahan makanan.
“Saya harap kerajaan dapat menyediakan KR1M di kawasan berhampiran tempat tinggal saya di Taman Putra, kira-kira 10 kilometer dari sini,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM200,000 untuk membina sebuah bangunan baru Kelas Fardu Ain (KAFA) di Masjid Al-Taufiq di Kampung Air Merah di sini.
Pada majlis sama, lebih 3,000 borang kaji selidik Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) diedarkan semalam. Ia bertujuan mendapatkan maklum balas rakyat yang tinggal di negeri ini dan Pulau Pinang mengenai keperluan rumah mampu milik.
Tinjauan Berita Harian mendapati orang ramai mengunjungi khemah pameran PR1MA bagi mengisi borang berkenaan sebagai maklum balas terhadap inisiatif kerajaan mewujudkan rumah mampu milik di wilayah utara.
Menerusi borang berkenaan, mereka memberi maklumat mengenai pendapatan bulanan, status perkahwinan dan jumlah anggota keluarga yang tinggal bersama.
Selain itu, mereka boleh memilih lokasi paling sesuai di negeri ini dan Pulau Pinang untuk dibina rumah jenis itu. - BERITA HARIAN
No comments:
Post a Comment